MAMPUKAH UMNO PERTAHAN KUASA?
Aimi Faiz Sulaiman.
Tarikh pilihanraya umum sudahpun
diketahui. Parti-parti yang bertanding begitu sibuk menyiapkan diri untuk
mempastikan segala-galanya berjalan lancar. Parti kerajaan dan gabungan
parti-parti pembangkang sudahpun mengerahkan jentera di bahagian tertentu bagi
melakukan sebaik mungkin untuk menjamin kemenangan.
11 Oktober 1990. Jam 9:30 pagi ; hari
penamaan calon seluruh negara. Di pejabat Daerah Hulu Selangor orang ramai
sudahpun bertumpu untuk menyaksikan hari bersejarah. Para penyokong parti
terutamanya dari BN dan Umno begitu megah dengan memakai topi dan baju T yang
sudah ditempah. Berkibaran bendera
parti yang dibawa dengan pelbagai laungan dan nyanyian. Laungan `hidup Mahathir’. `Hidup Umno’.
`Hidup BN’ bersilih
ganti. Lagu `Malaysia
Jaya’ dan Selawat
juga turut berkumandang. Penyokong Umno dan BN sudah awal-awal lagi bertebaran di lapangan pejabat tersebut.
Selang beberapa minit kemudian,
para penyokong PAS bersama calon berjalan beriringan dari luar menuju ke pejabat daerah. Mereka juga
membawa bendera dan sepanduk seperti slogan ;-`Hidup Bersama Islam’. Hanya ada kira-kira 30 orang dewasa, ada yang
memakai serban dan berkain pelekat. Di kalangan wanitanya pula semuanya
bertudung labuh dan ada seorang dua yang memakai purdah.
“ Aku kesihan melihat penyokong
PAS,” kata seorang rakan wartawan kepada saya.
“Kenapa?”soal saya kembali.
“ Habis di telan dengan penyokong
Umno” jawabnya sambil menikmati rokok Dunhill.
Mata saya melerek melihat para
penyokong PAS. Terlalu sedarhana dan seolah-olah begitu naif. Mereka tidak
mempunyai wang untuk membeli pelbagai kelengkapan dan hanya bergantung seratus
peratus kepada semangat. Alangkah sedarhananya mereka…
“Dik ke sini sekejap…” laungan
rakan kepada salah seorang anak kecil yang berada di kelompok penyokong PAS.
Pakaian Melayunya agak lusuh di samping memakai kopiah putih.
“Sini dik. Sana panas…” kata rakan
apabila anak kecil itu menghampiri kami.
Anak itu hanya menundukkan kepala.
Dia berdiri di samping kami sambil memerhatikan orang di sekeliling. Walaupun
berpakaian lusuh, tetapi dari air muka menunjukkan keberanian dan semangat.
Sesuatu yang tiada pada sesetengah pemimpin Umno.
“Mana ayah?”
“Tu…” tunjuknya kepada seorang
lelaki tua yang begitu asyik memegang bendera. Kami melambai tangan ke arah
orang tua dan disambut dengan senyuman.
Mungkin sama seperti rakan saya
itu, alangkah sayunya hati ini. Para penyokong PAS begitu bersemangat walaupun
mata-mata liar penyokong Umno seolah-olah menyebek mereka. Adakah kerana kekurangan ini `orang-orang Melayu dalam
PAS’ seperti dihina?Adakah kerana mereka kurang penyokong berarti PAS lemah dan
Umno kuat? Alangkah kagumnya hati ini dengan semangat dan keberanian
mereka!!!
Hari berkempen sudah bermula.
Beberapa hari menjelang hari pengundian pilihanraya umum Oktober 1990, prospek
Semangat 46 dan PAS bagi menewaskan UMNO bagi beberapa kerusi memang sukar di
pertikai. Bagaimanapun kesilapan perhitungan Tengku Razaleigh Hamzah yang telah
bekerjasama dengan DAP dan empat hari lagi menjelang pilihanraya dengan PBS
memberi kesan politik sebaliknya kepada Semangat 46. PBS empat hari menjelang
pilihanraya telah menikam Dr Mahathir dari belakang dengan bertindak keluar
dari BN dan memulakan kerjasama dengan Kuli. Pada mulanya Kuli sendiri menilai
bahawa tindakan itu menguntungkannya. Secara angkuh dia memberitahu para
wartawan bahawa ekoran tindakan itu, soalnya bukan lagi samada Gagasan Rakyat
pimpinan Semangat 46 akan membentuk kerajaan atau tidak tetapi berapakah
majoriti yang bakal diperolehinya.
Pada waktu itu di mata Kuli, UMNO
sudah kalah. Tetapi kesilapan Kuli memakai tengkolok Kadazan yang dikatakan
mempunyai lambang salib bagaimanapun telah menukar nasib politik Semangat 46
dan juga Kuli. Perbuatan itu telah digunakan sebagai senjata berkesan oleh UMNO
dan kerajaan pimpinannya untuk membuktikan bahawa Kuli sebenarnya bukanlah
seorang pemimpin Melayu yang wajar disokong kerana beliau akan menjadi alat
bukan Melayu dan Islam sekiranya menjadi Perdana Menteri. Ramai pemerhati
mengatakan tengkolok bersalib yang melambangkan agama Kristian itu telah
menyebabkan sokongan Melayu kembali semula kepada UMNO.
Kuli tumpas kerana peranan `media massa'. Kuli dan Semangat 46 tidak
berjaya membentuk kerajaan yang disifatkan waktu paling tepat ketika itu untuk
menumbangkan Barisan Nasional dan UMNO kerana lambang salib yang dimainkan oleh
media massa. Para pengundi Melayu `terkejut'
malahan mungkin sesetengah pemimpin pembangkang dengan isu yang dimainkan oleh `mainstream media'. Mereka tidak sempat untuk
bertindak balas dalam jangkamasa selama empat hari kerana UMNO dan kerajaan
sudah menguasai sepenuhnya `mainstream media'. Pimpinan pembangkang berkecamuk seketika dan akhirnya mereka
bergerak bersendirian tanpa bantuan dari rakan-rakan lainnya.
UMNO dan Barisan Nasional
sememangnya mempunyai pelbagai fasiliti dan kekuatan untuk meraih pengundi.
Dalam tempoh dua minggu waktu berkempen sebelum menjelang hari pengundian,
mereka akan menggerakkan apa jua jentera untuk mempastikan kemenangan. Antara
jentera utama adalah `media
massa'. Media massa
samada media cetak ataupun elektronik memang diiktiraf sebagai alat penyampaian
maklumat yang penting bagi membangunkan sesebuah masyarakat dan negara.
Walaupun ia diberi kebebasan dalam membuat liputan untuk pengetahuan umum,
tetapi ia juga dilihat bertanggungjawab dan bertindak tidak terkeluar daripada
etika yang sedia diamalkan.
Peranan media massa sudah diakui
sebagai suatu alat penyampaian maklumat yang sangat berkesan dan berpengaruh
dalam perkembangan politik sesebuah negara. Memang diakui bahawa media massa
juga bertanggungjawab dalam mewujudkan suasana perkembangan politik yang
positif atau sebaliknya.
Mainstream media yang dikuasai
kerajaan begitu dominan. Sesetengah mereka bertindak mengikut arahan dari `tangan-tangan ghaib'. Dalam isu Dato Seri Anwar
Ibrahim, media massa utama berjaya memecahbelahkan minda rakyat dengan
meletakkan Dato Nik Aziz Nik Mat tidak menyokong Anwar dengan memetik
pandangan-pandangan positif mengikut selera mereka sementara Dato Fadzil Nor
dilihat berpihak kepada Anwar. Kesan daripada gambaran yang diberi menunjukkan
seolah-olah PAS sudah berpecah iaitu kumpulan menyokong atau menentang
Anwar.Bagaimanapun, apabila Nik Aziz bertindak `mencabar kerajaan' , pemimpin media cuba memainkan isu `sokongan Malaikat dan Syaitan'. Kenyataan Nik Aziz digambarkan
memberi satu imej buruk kepada PAS seolah-olah tidak memahami Islam. Dan
masyarakat umum `terperangkap' kerana ini adalah cara yang
paling mudah untuk memahami dan mengikuti perkembangan politik semasa iaiatu
melalui berita-berita yang disiarkan oleh media massa.
Pilihanraya umum 1990 jelas
menunjukkan betapa dominan dan berkuasanya media ;-sebagai raja tidak
bermahkota, sehingga menjatuhkan Kuli dengan Semangat 46 dan parti-parti
pembangkang lainnya.
Peranan media massa yang dikuasai
oleh kerajaan bukan sahaja berlaku di negara ini malahan di negara-negara lain.
Media massa boleh menjadi penentu kepada kestabilan dan kemenangan kepada
sesebuah parti politik.Di sesetengah negara membangun seperti Filipina dan
negara-negara Amerika Latin ada wartawan yang hilang, dibunuh malah diugut oleh
pihak-pihak tertentu yang merasai kedudukan mereka boleh tergugat dengan
pendedahan berita.
Dalam konteks pilihanraya umum,
bukan sahaja media massa memainkan peranan penting malahan institusi lain yang
berkaitan dengan kerajaan turut serta membantu samada secara langsung mahupun
tidak. Apa jua peranan institusi di bawah kementerian tertentu seperti
Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar Bandar, Kementerian Kemajuan Tanah dan
Wilayah, Kementerian Kerjaraya dan lainnya serta kerajaan-kerajaan negeri yang
menubuhkan pelbagai agensi bertindak membantu UMNO dan Barisan Nasional dalam
tempoh sembilan hari pen.
Dalam jangkamasa memerintah yang
begitu lama melainkan di negeri Kelantan yang dikuasa oleh PAS, UMNO begitu
dominan sehingga mereka menjadi penggerak utama di semua peringkat bukan sahaja
di desa-desa terpencil, di kampung-kampung dan di kawasan rancangan pembangunan
tanah malahan ia juga turut aktif di pekan, bandar dan kota. Orang-orang UMNO
memainkan peranan penting dalam berbagai badan dan organisasi dan institusi
yang wujud di semua peringkat. Semangat UMNO yang menguasai Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pengerak kumpulan belia dan Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI).
Kumpulan UMNO ini sudah berakar umbi;-tidak termasuk agensi-agensi kerajaan
yang sentiasa aktif sebagai aktiviti harian mahupun `Spy tidak berbayar' seperti peranan KEMAS ataupun
Penerangan.
Selain itu, UMNO mendapat pelbagai
kemudahan fisikal seperti dewan orang ramai, dewan sekolah, dewan tadika
sehingga ke padang sekolah. Sedangkan pembangkang tidak mempunyai kemudahan
yang mencukupi melainkan baik sedikit di Dewan Perhimpunan China yang tentunya
mengenakan kadar yuran tinggi. Selebihnya mereka hanya berceramah di kediaman
penyokong ataupun ahli parti.
Satu kes yang menarik semasa
pilihanraya kecil Ampang Jaya pada 1989
apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dibenarkan berucap
di salah sebuah Dewan Sekolah Rendah di salah sebuah cawangan di bahagian
Ampang Jaya sedangkan pada waktu yang sama seorang pemimpin PAS pusat hanya dibenarkan berucap di salah sebuah
rumah penyokongnya yang mempunyai ruang sempit dan kurang selesa. Ketika
berucap Muhammad diberikan `sound system' yang canggih dan jelas daripada van Penerangan sedangkan
pemimpin PAS menggunakan `sound system' yang tenggelam timbul. Sedangkan van penerangan adalah
kepunyaan kerajaan tetapi ia boleh digunakan oleh UMNO sedangkan tidak
pembangkang.
Selain itu, tindakan kerajaan
mengikat rakyat dengan memberi pelbagai kemudahan begitu menyukarkan
pembangkang untuk mempengaruhi dalam tempoh sembilan hari waktu berkempen. Satu kes yang menarik
apabila Amanah Saham Negeri Selangor (ASNS) ditubuhkan, kerajaan negeri telah
mengadakan skim pinjaman Amanah Saham Nasional/Amanah Saham Bumiputera tanpa
dikenakan faedah kepada bumiputera yang termasuk dalam takrif miskin atau
pendapatan kurang daripada RM400 sebulan.Hampir 10,000 rakyat dari seluruh
Selangor memperolehi kemudahan ini. Apa yang lebih menarik, ada juga peruntukan
yang diberi oleh kerajaan negeri kepada ahli-ahli UMNO dari pelbagai peringkat
dengan jumlah tertentu supaya menjadi ahli ASNS. Mereka tidak mengeluarkan wang
satu senpun melainkan dalam tempoh tertentu mereka akan mendapat sejumlah wang
yang dipinjamkannya itu.Bayaran bulanan yang dikenakan juga rendah dan mampu
diselesaikan.Tidakkah ini memberi impak positif kepada pengundi-pengundi untuk
terus menyokong UMNO? Bagaimana pula keadaannya dengan negeri-negeri lain yang
turut serta mengujudkan Amanah Saham negeri-negeri.Ini juga perlu diambilkira
kerana apa yang diterima sekarang adalah dividen dan bonus setiap
tahun.Apatahlagi jika pilihanraya umum diadakan sebelum menjelangnya pemberian
dividen dan bonus yang berlipat kali ganda!
Contoh pemberian pinjaman saham
adalah ikatan dari jangkapanjang yang sukar mempengaruhi pengundi untuk
mengundi pembangkang. Dalam jangkamasa pendek iaitu tempoh pilihanraya umum,
seperti yang disebutkan di atas, UMNO sememangnya mempunyai pelbagai kemudahan
dan sokongan ketika berkempen. Beberapa agensi kerajaan berganding bahu untuk
mempastikan kemenangan berpihak kepada UMNO walaupun ada kemungkinan beberapa `kerat' manusia dalam agensi terbabit
yang menyokong pembangkang. Beberapa `kerat'
yang menyokong pembangkang tidak berupaya untuk mempengaruhi pengundi
memandangkan risiko `cari
makan' boleh
menentukan masa depan mereka. Oleh itu kita tidak pernah mendengar mana-mana kaki
tangan dalam agensi kerajaan yang tidak terbabit secara langsung dengan UMNO
berkempen `habis-habisan' menentang UMNO. Mereka hanya
mampu membantu satu undi (iaitu untuk diri sendiri sahaja).
Berbeza pula dengan mana-mana
agensi yang terus berada di bawah naungan UMNO seperti Penerangan, KEMAS dan
pertubuhan Belia lainnya, mereka akan bekerja bertungkus lumus tanpa mengira
waktu untuk membantu `kempen-kempen' pilihanraya.Selain daripada
kemudahan yang bakal diperolehi jika seorang calon UMNO `menang' mereka juga
sudah disediakan dengan pelbagai fisiliti termasuk `wang saku'. `Wang saku' dilihat sebagai `motivasi' mereka
bergerak.
Dalam satu contoh klasik yang
berlaku di pilihanraya umum 1986, sebuah kampung di salah sebuah bahagian
negeri Terengganu dilihat sebagai kubu PAS. Calon PAS ketika itu sememangnya
yakin bahawa kampung tersebut akan menjadi tunggak kepada kampung-kampung lain
bagi membantu kemenangan calon di kawasan tersebut. Dalam tempoh berkempen,
tiba-tiba sahaja beberapa buah lori Tenaga Nasional Berhad(TNB) telah
menurunkan kayu tiang elektrik di sepanjang jalan utama menuju ke negeri
Kelantan. Ia memberi gambaran jika mereka memilih BN dan UMNO sudah pasti
kampung tersebut akan `bermandikan cahaya' kerana mendapat bekalan elektrik.
Dan pastinya kampung tersebut memilih calon UMNO kerana mahukan `bermandi
cahaya' di rumah masing-masing.
Bagaimanapun khabarnya selepas
selesai pilihanraya kayu itu diambil balik kerana `masalah taknikal' dan penduduk kampung itu terpaksa
bergelap semula! (kini sudahpun ada bekalan elektrik kampung tersebut). Ini
baru peranan agensi secara tidak langsung seperti TNB ataupun telekom.
Selain tentangan daripada
agensi-agensi kerajaan dan UMNO secara langsung mahupun tidak langsung,
penubuhan konsortium ataupun konglomeret oleh kerajaan negeri dan pusat juga
boleh menyukarkan pembangkang. Penubuhan konglomeret dengan kerjasama dalam dan
luar negara memberi kesan positif kepada UMNO dengan memberi pelbagai `hadiah' kepada pengundi sebelum hari
pengundian. `Hadiah' seperti pemberian komputer,
mineral pot, makanan secara percuma kepada kanak-kanak sekolah selama setahun,
jam antik atau sound system tercanggih kepada masjid dan sebagainya. Ini tidak
termasuk kepada korporat baru dan `muda'
yang memperolehi pelbagai kemudahan dari pemimpin UMNO dan kerajaan. Mereka
melalui anak-anak syarikat turut serta memberi pelbagai hadiah kepada ratusan
kampung dan desa yang terpencil.
Pimpinan UMNO dan Barisan Nasional
`bijak' dalam percaturan politik pilihanraya (melainkan `mungkin' negeri Kelantan). Strategi mereka
sentiasa bertukar tanpa disedari oleh kumpulan pembangkang. Mereka juga mungkin
sedang secara mendalam mengkaji slogan pembangkang `duit ambil, undi belum tentu' yang telah mereka gunakan dalam
pilihanraya umum lalu. Tidak mustahil, pemberian empat tin sardin, dua helai
kain pelekat dan RM50.00 tidak lagi digunakan dalam pilihanraya umum depan.
Mereka sedang cuba mengambil pendekatan yang lebih bermakna membabitkan
psikologi dan kepercayaan pengundi. Kita tidak tahu apa pendekatannya tetapi ia
bukan mudah untuk dikesan dalam tempoh dua minggu menjelang pilihanraya umum.
Bagaimanapun ini adalah
pilihanraya 1990 dan hampir sama juga dengan pilihanraya umum 1995 lalu. Ketika
itu `kuasa rakyat’ tidak dilihat sebagai penghalang
kepada kekuatan dan keangkuhan Umno dan menguasai semula kerajaan. Kali ini
keadaan begitu berbeza. Rakyat sudah mula menyedari hak dan kuasa mereka untuk
menentukan pemerintahan yang amanah dan betul. Rakyat sudah celik dengan
pelbagai isu terutama sekali selepas pemecatan Dato Seri Anwar pada 2 September
1998 lalu. Rakyat sudah berani bangkit dan meluahkan perasaan di jalanan. Bagi
mereka, ada sesuatu yang mesti diperbetulkan.Kerajaan tidak boleh melakukan
sesuatu yang boleh menyenangkan hati sesetengah pemimpin dan melukakan hati
rakyatnya.
Segala-galanya akan dibuktikan
pada 29 November 1999 ini. Ini adalah pilihanraya umum kali terakhir sebelum
menjelangnya abad alaf baru. Ini adalah penentu sejauhmana kematangan rakyat
dapat diterjemahkan dalam peti undi. Kita tidak mahu rakyat terutama
orang-orang Melayu kekal dengan `semangat hangat-hangat’ tahi ayam atau terbakar sekali dan padam sepanjang hayat.
Seorang rakan pernah memberi tahu, orang-orang Melayu begitu dikenali sekali
dengan 3P. Iaitu `Pelupa’,
`Pemaaf’ dan `Pengasih’. Semangat Melayu boleh dipertahan
sehingga lebih setahun penentangan mereka terhadap Umno kenapa tidak kepada waktu
mengundi kelak?
Berbeza dengan waktu lalu, masa kempen
hanya dihadkan kepada sembilan hari sahaja. Hari penamaan calon adalah pada 20 November
sementara hari mengundi adalah pada 29 November 1999. Parti pembangkang yang
melalui gabungan PAS, DAP, Parti Keadilan Nasional dan PRM sudahpun menunjukkan
`belangnya’ bersama-sama dengan sokongan rakyat.
Segala jentera Umno dikatakan sudah hampir lumpuh. Rakyat tidak boleh menerima
Anwar dilebamkan mata begitu sahaja. Rakyat tidak mahu melihat Wan Azizah dan Nurul
Izzah terus terkapai-kapai kerana `kerakusan’ pemimpin yang berkuasa. Barangkali, rakyat sekarang sudah mempunyai
perkiraan. Hati mereka sudah tetap untuk mengundi sesiapa. Buktikanlah bahawa
orang-orang Melayu bukan 3P. Buktikanlah…
##