Cetusan Minda 12 November 1999
Hujan lebat tidak menganggu seorang peminat Detik, lelaki pertengahan umur, bertubuh sasa, bermisai lebat tapi rambut putihnya lebih banyak dari yang hitam, untuk menepati temujanjinya dan memanjat tangga tiga tingkat pejabat saya semata-mata untuk bertukar-tukar pandangan.
“Dah lama baca buku tapi belum pernah bersua muka,” dia
membuka bicara selepas menggenggam erat tangan saya. Sebelumnya dia
menjelaskan: “Kereta rosak, terpaksa ambil teksi, berpusing-pusing juga di
tengah-tengah hujan petir.
“Terima kasih,” sambut saya ringkas, sambil menghulurkan
keluaran terbaru Detik.
“Sepatutnya bukan tajuk Siapa Racun Anwar tapi Siapa Bunuh Anwar,” katanya spontan sebaik
saja membaca tajuk Detik terbaru itu.
“Jangan cari pasal,” seorang teman di sebelah mencelah.
Kami hanya ketawa mendengarnya. “Benar, Mahathir boleh buat apa saja,” tambah
lelaki berbaju belang yang nampak basah di bahagian bahu. Dia mengenalkan diri
sebagai Samad, anak kelahiran Kulim, Kedah, sudah lima tahun di perantauan,
berniaga kecil-kecilan, walaupun lulusan tinggi luar negara. Gayanya periang
dan cukup, malah boleh dianggap terlalu peramah. “Tapi, rakyat lebih berkuasa
darinya.”
“Aku sengaja cari kau, Lutfi, tukar-tukar maklumat, kalau
ada berita eksklusif boleh aku jual
dengan Umno,” usiknya diikuti ketawa besar. Saya teringat gaya ketawa
pemimpin-pemimpin Umno kalau bersembang di coffee house, hampir sama. Makalah
Bagaimana Mahathir Boleh Ditumbangkan direnungnya tapi tidak pula diselak isi
kandungannya.
“Umno tak perlu bimbang. BN tak boleh kalah,” tanpa
diminta, saya membuat kesimpulan awal. Samad seperti tidak mahu percaya.
“Saya berhujah tengok kecondongan orang. Kalau you
jangkakan Umno kalah mudah, saya suka ambil pendekatan bercanggah. Saya akan
pertahankan bahawa pembangkang sukar dapat kerusi lebih walaupun sambutan
ceramahnya melaut,” sambung saya. Wajahnya seperti nampak kosong, mungkin
kerana tidak menduga respons saya begitu.
“ Tapi kalau you sokong kuat BN dan yakin Umno tak boleh
tumbang, saya akan berhujah dari perspektif yang lain. Saya suka menduga,
barulah kita dapat lebih banyak maklumat.” Kenyataan akhir saya itu seperti
memberikan keyakinan baru kepadanya. Mukanya kembali merah, tambah seri dengan
warna kulitnya yang keputihan.
“Jangan remehkan kekuatan dan sumber yang ada pada
Mahathir,” saya seperti memberikan peringatan asas kepada hampir semua
penyokong pembangkang yang bertemu saya, termasuk Samad. “Apa yang tidak
terduga pun boleh dilakukan Mahathir. BN masih solid, tidak bergaduh sesama
sendiri. Gabungannya jauh lebih mantap, kukuh dan tersusun berbanding pakatan
PAS-DAP-keADILan-PRM.”
“Jentera Umno
mungkin lemah,” tambah saya, “tetapi ia boleh salahgunakan agensi kerajaan
dengan mudah. Propaganda Umno mungkin tidak menyeluruh tapi akhbar harian dan
siaran tv cukup berpengaruh. Ceramah pembangkang memang ramai pengunjung tapi
sentimen dan emosi pengundi mudah diusik dengan taktik ancaman dan ugutan.
Strategi kempen BN tidak terlawan dek Barisan Alternatif.”
“Jangan, jangan dan jangan mudah kagum dengan kehadiran di
majlis-majlis ceramah dan banyaknya bendera yang kita pasang sendiri,” semakin
bersemangat saya bila melihat Samad lebih banyak mengangguk tanpa sebarang
ulasan. Saya tahu, orang sepertinya mahu mendengar dahulu. Tunggulah, dia akan
melepaskan segala yang terbuku di dada bila sampai masanya.
“Igauan buruk masa lampau tentang prestasi pembangkang
hanyalah sejarah, bukan realiti lagi. Orang sudah berubah, keadaan juga banyak
berubah,” Samad cuba menyanggah secara halus. Dia meminta kertas untuk melorekkan
beberapa point penting.
“BN kuat pada 1995 kerana pertumbuhan ekonomi yang rancak. Cina bulat menyokongnya. Tiada isu besar memihak pembangkang. S46 hampir berkubur. Pakatan dua tokoh, antara Ku Li dan Kit Siang musnah. Orang India sepenuhnya dengan BN. Gerakan Islam pula bersama Anwar. PAS hanya tertumpu di Kelantan,” sambungnya, sambil membelek laporan pilihan raya 1995.
“Apakah hanya kerana Anwar dipecat keadaan berubah seratus
peratus?”
“Tidaklah begitu.”
“Umno boleh jatuh hanya dengan isu Anwar?” sekali lagi
saya menimbulkan persoalan stereotaip yang sudah jemu diulang. Ramai
teman-teman yang memberi jawapan berangkai, “ya dan tidak”. “Anwar hanya menyuntik keyakinan baru kepada
kesedaran yang mula meluas. Tengok, Arau ditawan PAS tanpa bantuan Anwar,” kata
seorang dari mereka, seingat saya anak Perlis juga.
“Arau adalah kes terpencil,” saya cuba membantah. “Malah,
sekalipun kemenangan Arau berulang di kawasan lain, ia bukan saja tidak cukup
untuk menumbangkan BN tetapi mengurangkan majoriti dua pertiganya pun belum
tentu. BN menang terlalu besar pada 1995.”
“Cuba jangan terikat sangat dengan result 95. Suharto tumbang walaupun sebelumnya dia menang
besar. Kedudukan Mahathir tidak sekukuh Suharto,” Samad mula berteori.
“Tapi Mahathir jauh lebih bijak berbanding Suharto,” saya
mula mengumpannya. Kalau dipersetujui saja kata-katanya, sembang-sembang itu
pasti hambar dan senada.
“Bukan bijak, sebenarnya licik.” Kami sama-sama ketawa.
Sambil itu saya memesan teh tanpa gula, capati dua dari restoren mamak yang
hanya bersebelahan. “Samalah kita, diabetis,” sambungnya, dengan nada ketawa
yang lebih tinggi. “Fasal kesihatan, kita kena rujuk dengan Mahathir, itu
satu-satunya kehebatan Mahathir yang boleh kita manfaatkan. Yang lain jangan,”
lagi besar gelaknya, terasa bergema di seluruh tingkat.
Saya mengutip beberapa rumusan dari pilihan raya
Indonesia. Imej Golkar lagi buruk daripada Umno, tetapi undinya relatif tinggi,
bertahan pada kedudukan kedua. “Mengikis pengaruh parti yang berkuasa sejak 42
tahun dulu bukan mudah. BN, sebelumnya Perikatan, menang bukan sikit. Itulah
yang berlaku dengan Golkar. Sepatutnya Golkar langsung tidak mendapat tempat di
hati rakyat Indonesia. Dalam BN, hanya Umno berdepan krisis, itu pun bukan
dalaman parti, tapi sokongan rakyat terhadapnya terjejas. Parti masih utuh.
Komponen BN yang lain terus mantap.”
KeADILan diakui ada pengaruh, kata saya, terutama
bersumberkan ketokohan Anwar dan simpati terhadap Azizah dan anak-anak. “Tapi,
mungkin pengaruh itu sekadar menggantikan kedudukan S46 pada 1990. Yang tumbang
hanya Kelantan, dibantu kuat Ku Li dan Istana. Apakah faktor Anwar boleh
mendorong kejatuhan BN di Pulau Pinang atau menolong Ustaz Fadzil jadi MB
Kedah?”
“Permatang Pauh pun belum tentu selamat buat keADILan jika
yang bertanding itu bukan Anwar,” teman sepejabat yang sejak awal membisu
seperti menyergah. Kami agak terperanjat dengan responnya. “Penang bukan kubu
Anwar seperti Kelantan bagi Ku Li.”
“Yang terpenting adalah kelicinan jentera parti, sejauh
mana dan sebanyak mana kita boleh bertemu rakyat, bersua muka, mengemukakan
alternatif dan membuang kebimbangan tidak berasas yang ditabur propaganda Umno.
Jangan buat silap,” saya menambah bila melihat tetamu saya, Samad hanya menggores-gores
kertas. Saya lihat tidak ada point lagi, sebaliknya lakaran kartun Mahathir
meniru hidung besar yang selalu dilukis Zunar.
“Aku setuju,” tingkahnya pantas. “Kealpaan kecil boleh
menjadi senjata yang memusnahkan. Silap strategi kempen boleh membawa padah.
Kaji bagaimana DAP kecundang teruk di Pulau Pinang, 1995. Isu tidak selamanya
boleh memenangkan.”
Memang senario
kini jauh berbeza. Soalnya, semudah itukah pengundi Melayu membuang tabiat
lama? Hadir ramai-ramai ceramah pembangkang, tapi mengundi tetap dacing. “Orang
Melayu sokong Alternatif bukan kerana Anwar tetapi muak dengan pemerintahan Mahathir serba korap ini. Yang
dipentingkan hanya suku-sakat, kroni, saudagar kaya. Yang diutamakan bangunan
hebat dan tinggi, bagi memperkukuhkan ego seorang PM.”
“Buang Mahathir selesaikan segala masalah?” lagi sekali
soalan stereotaip yang saya kemukakan. “Maknanya, Umno tetap di tempatnya. BN
terus berkuasa. Tapi PM bukan lagi Mahathir. Begitu?”
Melihatkan Samad lambat menjawab, saya menyimpulkan
sendiri: “Kalau itu yang orang Melayu fikirkan, mereka mungkin menyerahkan
tugas menjatuhkan Mahathir kepada pengundi Kubang Pasu, seperti saya sendiri
yang mengundi di Kampung Raja. Orang Melayu di kawasan lain terus pangkah BN.
Ini logika yang tidak rasional langsung.”
Umpanan saya tidak mengena bila dipintas Samad: “Mahathir
adalah simbol Umno. Menumbangkan Mahathir bermakna kita mesti menjatuhkan dulu
Umno. Tanpa Umno siapalah Mahathir. Budaya Umno yang dibentuk Mahathir sukar
diubah lagi. Sesiapa yang naik melalui Umno, termasuk Anwar, akan menyalin
perwatakan seorang PM sepertinya. Jarang sekali PM yang akan membataskan,
apatah lagi, mengecilkan bidang kuasanya yang sedia selesa diperuntukkan
Mahathir.”
Ramai pemerhati politik melihat sentimen Melayu terhadap
Umno menjadi longgar selonggar-longgarnya. Kalaupun Umno diharamkan sekarang,
perasaan orang Melayu tidak seperti 1987 dulu. “Jangan mudah menyimpulkan,” seorang pensyarah sains
politik UKM pernah mengingatkan saya. “Umno tegak di atas sokongan orang-orang
kampung yang masih terkepung dengan mentaliti lama. Mereka masih bimbang dengan
pakatan PAS-DAP. Mitos kuno terhunjam kukuh di kepala. Walaupun logik yang
selalu dipakai Mahathir nampak bodoh, tetapi jika selalu disebut dan
diulang-ulang, apatah lagi diperkukuhkan dengan imej buruk PAS yang sedia
melekat, laluan pembangkang tetap sukar.”
Samad dan teman sepejabat saya itu akhirnya
bersepakat: “Kelebihan unggul Mahathir ialah beliau berkuasa mutlak untuk
menentukan tarikh pilihan raya. Saat yang dipilihnya tentu di kala pengaruh
pembangkang merosot sedangkan BN
tertinggi di kemuncak. Amarah rakyat tidak mustahil untuk diredakan. Kebencian
boleh dilunakkan jika kena caranya. Bukankah BN sentiasa didokong oleh agen
perisikan dan pengiklanan terbaik di dunia?
“Pengundi hantu dan penipuan semasa pilihan raya hanya
menjadi bahan kempen pembangkang tetapi tetap asset besar buat BN. Rasuah
politik dianggap biasa sedangkan itulah
barah yang perlu dicegah awal. Hanya kematangan rakyat berbilang keturunan
dapat menyanggah taufan besar itu.”
Bagi saya, ceramah tetap program terpenting pembangkang
yang mesti diteruskan. Di situlah segala maklumat disampaikan, sanggahan
terhadap dakyah BN boleh dibuat, penjelasan terperinci dapat dihuraikan –
secara cepat dan dan langsung dengan rakyat. Namun ia tidak harus membazirkan
terlalu banyak masa petugas-petugas parti yang sepatutnya diagihkan dengan
komitmen lain yang tidak kurang pentingnya. Sayang sekali, ada kalanya pengisian
ceramah dibuat sambil lewa, sekadar menghibur dan melepaskan geram. Puluhan
ribu hadir tapi sedikit sekali yang dapat ditukar pendirian politik, yang
sekian lama condong dengan Umno.
“Semua penyokong Alternatif harus kerja lebih keras, lebih
kreatif, lebih sistematik, elakkan pergeseran sesama parti,” demikian amanat
seorang veteran Umno yang begitu simpati dengan Anwar. “Jangan harapkan lagi ada isu mendatang yang
memihak kepada Alternatif sebaliknya mesti berhati-hati dan berwaspada agar
yang dikendong tidak keciciran. Rakyat tidak perlukan pendedahan baru lagi,
sebaliknya bekerjalah dengan apa yang ada. Lipatgandakan usaha, banyakkan
program cambah-idea, jangan timbulkan ketakutan rakyat, buang imej buruk,
sensitif dengan teguran dan pandangan orang lain. Turun, turun, turun ke bawah,
dekati masyarakat.”
Apabila kenalan baru saya, Samad minta diri, baru saya
tersedar perbincangan kami melewati sejam. Sebalik saja dia menghilang di
sebalik pintu depan, teman sepejabat saya berbisik: “Lagak macam SB.”
“Aku pun rasa begitu,” sambut saya perlahan, sambil cuba mengawal perasaan. “Tapi, mengapa kau agak macam tu?” Sahabat karib saya tadi sekadar mengangkat bahu dan berkata: “Macamlah kau tanya Wan Azizah, bagaimana air kencing Anwar boleh dibawa keluar untuk diuji kaji.”
Terkedu saya, masakan saya yang sudah ditahan ISA, rumah
digelidah SB Bukit Aman, dirampas buku-buku politik dan dibawa ke balai polis
Sentul, bersemuka dengan pegawai tertinggi polis di Intan, Bukit Kiara, tetapi
sukar membaca yang tersirat. Tapi, teman saya itu hanya sekadar menduga.
Lagipun kalau benar tetamu saya tadi SB, apa masalahnya? Tiada rahsia yang saya
bocorkan, lagipun apa rahsia yang saya tahu.
##