Kolum Cetusan Minda 1 - 11 November 1999
Pertama, Cermat; Kedua, Berhati-hatilah!
Kempen pilihan
raya bagaikan medan pertempuran dalam peperangan. Salah strategi, silap
pendekatan, terlalu yakin diri, bertindak tanpa kesesuaian masa, termakan umpan
musuh, salah menempatkan petugas, bercakaran sesama sendiri, semuanya
mendedahkan diri dengan kebinasaan. Dalam saat genting, kesalahan kecil dan
kealpaan yang tidak disengajakan boleh “membunuh diri”. Ia bakal dieksploitasi semahu-mahunya, dan
dengan bantuan media seperti tv, imej parti boleh diselewengkan dalam masa
singkat. Ingat: masa kempen, pengundi jarang dapat berfikir secara rasional dan
matang!
Barisan
Alternatif tentu lebih tertekan dengan tempoh singkat berkempen, menyukarkan usaha penerangan berkesan dilakukan terutama di kawasan pendalaman.
Mahathir mengukir sejarah PM paling takut berdepan kempen pilihan raya. Jika
dibandingkan, bermula era Tunku Abdul
Rahman -- yang pernah meletakkan jawatan sebagai PM bagi membolehkan kempen
secara adil dilaksanakan pada 1959 – tempoh kempen mengecut apabila Mahathir
mengetuai kerajaan. Rujuk jadual untuk perbandingan lanjut.
Tahun |
Antara Bubar
Parlimen & Penamaan Calon |
Antara
Penamaan dan Pengundian |
Jumlah |
1959 |
18 |
35 |
53 |
1964 |
17 |
35 |
52 |
1969 |
23 |
28 |
51 |
1974 |
8 |
16 |
24 |
1978 |
9 |
17 |
26 |
1982 |
9 |
15 |
24 |
1986 |
5 |
9 |
14 |
1990 |
7 |
10 |
17 |
1995 |
10 |
10 |
20 |
SPR di bawah Omar Hashim diharap mampu membuktikan bahawa institusi itu bebas dari sebarang pengaruh parti pemerintah dengan menentukan tempoh kempen yang munasabah. Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mencadangkan tempoh minimum selama 33 hari, yakni 5 hari antara pembubaran Parlimen dan writ pilihan raya, seterusnya 7 hari sehingga penamaan calon, dan sekurang-kurangnya 21 hari antara penamaan calon dan hari mengundi. Jika SPR terikat dengan tempoh yang dikehendaki Pengerusi BN dan Presiden Umno, wibawa badan bebas itu tercalar dengan lebih teruk lagi.
Meskipun
diakui pilihan raya bagaikan satu pertempuran, namun ia tentunya tidak sampai
menghalalkan pendustaan, taktik kotor, ugutan dan gertakan, rasuah politik,
manipulasi media, eksploitasi jentera kerajaan. Jika disorot kempen parti-parti
yang bakal bertanding, senarionya begitu menarik. Seorang teman dari Meru,
Klang memberitahu, ada pihak tertentu mengupah beberapa orang tua, dengan imej
agama, misalnya berkupiah putih, duduk berjam-jam di kedai kopi, bercakap dengan
nada tinggi -- supaya orang lain juga mendengarnya -- memburuk-burukkan Barisan
Alternatif (BA). “Mesejnya supaya umum dipengaruhi bahawa penyokong BN juga
ramai. Sedangkan selama ini hanya pendokong BA memenuhi kedai-kedai makan.”
Satu artikel
dalam laman web mengingatkan aktivis BA
tentang taktik kotor lawan memburukkan imej Alternatif: “Bendera dan poster BA akan ditampal di
tempat awam oleh musuh sehingga menyusahkan orang ramai, misalnya menutup lampu
isyarat dan arah jalan. Logo BA diconteng di dinding rumah ibadat. Berkonvoi
dengan sombong melalui masjid di waktu solat sambil bersorak “reformasi” atau
bertakbir. Tukang kacau akan diupah
untuk bersorak di ceramah BN agar BA dituduh pengacau. Sepanduk provokasi
dinaikkan, misalnya berbunyi “Umno Parti Kafir”, “Undi PAS Masuk Syurga”. Poster dan papan tanda BN akan dikoyak dan
dibakar.”
Saya tertarik
dengan satu peringatan bahawa
kemungkinan musuh BA akan menelefon secara rambang dan menjerit,
“undilah Barisan Alternatif”, bagi
membangkitkan kemarahan pengundi kepada BA. Pengalaman saya menjelang hari
mengundi 1990 adalah rakaman terbaik. Pada malam tv menyiarkan Ku Li memakai
sigah Kadazan yang dikatakan berlambangkan salib, saya dan teman-teman di
pejabat Harakah sibuk menyiapkan bahan. Pada malam itu saja, saya dihujani
lebih 20 panggilan telefon dari pemanggil yang berlainan. Rakan-rakan lain
menghadapi hal yang sama.
Nada panggilan
itu tidak jauh beza, seperti dirancang dan menurut skrip. Sebahagiannya dari
ibu-ibu yang mengakui berazam menyokong PAS tetapi kini marah dengan Ku Li dan
akan kembali mengundi BN. Mereka cuba mencetuskan kemarahan kami dengan memburukkan S46 dan pemimpin PAS yang
sanggup berkompromi dengan Ku Li yang tamakkan kuasa sehingga menjual agama.
Kesannya menakjubkan, ramai teman-teman menjadi keliru, begitu juga pemimpin
PAS. Rupanya kumpulan yang menelefon ini tidak henti-henti menghubungi sesiapa
yang mereka kenal, khususnya bekas penyokong Umno yang sudahpun berpaling
kepada PAS, dan aktivis pembangkang.
Saya sendiri dihujani panggilan yang sama keesokannya, sehinggalah hari
mengundi.
Saya sekadar
mengingatkan: Alternatif, biarpun mendapat pelbagai rahsia dan isu baru yang
menggemparkan, ia tidak semestinya
berkesan untuk mempengaruhi pengundi, sebaliknya bagi BN, isu-isu remeh,
melalui rangkaian propagandanya, boleh diolah untuk menikam pembangkang. Jadi,
pertama, berhati-hatilah. Kedua, berhati-hatilah!