Ceramah
politik Barisan Alternatif terlalu banyak di Lembah Klang. Terutamanya PAS dan
keADILan. Di bandingkan dengan kawasan-kawasan lain di luar Lembah Klang, ia
terlalu banyak. Hal ini eloklah segera diubah.
Saya
beberapa kali terkejut akhir-akhir ini apabila bertemu kawan-kawan dari luar
Kuala Lumpur. Mereka jauh sangat tertinggal di belakang. Banyak yang mereka tak
tahu.
“Yang
kau orang marah sangat dengan Mahathir ni apasal? Kau orang kata dia zalim. Apa
yang dia zalim?" Tanya seorang cikgu sekolah menengah dari Batu Pahat,
Johor.
Terkejut
saya dengar soalan itu. Macam tak mahu percaya. Cikgu yang bertanya itu bukan
sebarang cikgu. Dia juga seorang penulis buku. Rajin membaca buku dan rajin
melayari Internet. Takkan saya nak buka ceramah politik pula untuk dia dan
seorang kawan yang bersamanya?
“Kau
tak pernah pergi dengar ceramah politik Barisan Alternatif?” tanya saya. Bukan
nak mengelak daripada menjawab soalannya, tetapi ingin tahu sama ada dia
benar-benar tak tahu, ataupun dia sengaja buat tak tahu.
“Aku
bukan tak mahu pergi dengar ceramah politik,” jawab kawannya, guru sekolah
kebangsaan. “Dulu aku pergi. Tiga kali aku pergi, aku dengar benda yang sama.
Balik-balik cakap itu juga. Semua yang kerajaan BN buat tak betul. Tetapi tidak
pula dia ceritakan kalau Barisan Alternatif memerintah, apa yang mereka akan buat. Setakat nak pergi dengar kritik
terhadap kerajaan, lebih baik aku duduk rumah tengok tv. Buang masa aku aja.”
Saya
tak tanya mereka apakah mereka baca Harakah
dan Detik. Mungkin mereka baca,
mungkin mereka tak baca. Tak kisahlah. Saya beranggapan mereka tak baca. Dan
saya tak boleh salahkan mereka. Mereka bebas membuat pilihan. Yang pentingnya
mereka telah mengesahkan satu keadaan yang memang telah beberapa kali
diperbincangkan di kalangan kawan-kawan penyokong Alternatif di KL.
Pernah
saya bertanya kepada aktivis PAS dan keADILan, “kenapa ceramah terlalu tertumpu
di Lembah Klang?” Mereka jawab, kerana masalah kewangan. Di Lembah Klang setiap
ceramah mampu mengumpul wang yang bukan sahaja boleh menampung perbelanjaan
mengadakan ceramah tersebut, tetapi lebih daripada itu. Sedangkan di luar
Lembah Klang kutipannya kecil, tidak dapat menampung perbelanjaan.
Nampaknya
aktiviti ceramah itu berlaku secara bebas oleh masing-masing Cawangan atau
Bahagian parti-parti berkenaan. Tidak ada penyelarasan di peringkat pusat. Dan
nampaknya faktor kewangan memainkan peranan begitu penting. Bukan faktor
keperluan meningkatkan kesedaran rakyat di kawasan-kawasan yang dikenal pasti
memerlukannya.
Saya
kira keadaan seperti itu perlu segera diubah. Masanya sudah tiba untuk Barisan Alternatif
menyusun program kempennya secara yang strategik. Cukuplah cara bebas yang
berlaku selama ini. Sekarang aturlah strategi dengan tegas dan rapi.
Baru-baru
ini saya sekali lagi terkejut apabila Prof.
Jomo memberitahu bahawa hasil tinjauan yang dilakukan oleh
kawan-kawannya menunjukkan 45 peratus penduduk Beranang tidak tahu tentang
wujudnya Barisan Alternatif; apatah lagi tentang Anwar Ibrahim yang bakal
menjadi Perdana Menteri sekiranya Barisan
Alternatif menang dalam pilihan raya akan datang.
Beranang!
Masih di dalam Lembah Klang. Hanya 30 kilometer daripada Kuala Lumpur. Pun
masih tidak tercapai maklumat yang kita jangka sepatutnya sudah dimaklumi oleh
rakyat umum yang bakal menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa sahaja
sekarang ini. Apalah nak dihairankan orang-orang yang sejauh Batu Pahat!
Sudahlah.
Cukuplah ceramah-ceramah yang terlalu banyak di Kuala Lumpur -- Gombak,
Titiwangsa, Batu, Selayang, Shah Alam, Kelang, Subang, Petaling Jaya Selatan
dan sebagainya. Sekarang kita sudah mengenalpasti mana kawasan atau kerusi yang
akan ditandingi. Maka seperti kata Ahmad Lutfi dalam Cetusan Minda keluaran
lalu, “Fokus! Fokus!”
Ya,
Fokus! Itulah yang perlu sekarang. Pastikan mana kawasan yang perlu diberi
fokus, mana kawasan yang dikira sudah okey, dan mana pula kawasan yang tidak
ada harapan. Bagi kawasan yang dikira tidak ada harapan, tinggalkan dan lupakan
saja. Jangan buang masa dan jangan buang tenaga dan wang. Berikan tumpuan pada
kawasan yang ada harapan.
Mengikut
dua orang cikgu dari Batu Pahat itu, rakyat di kawasan mereka bukan tidak ada
kesedaran langsung tentang kezaliman kerajaan BN dan perlunya kita kepada
kerajaan baru. Masalahnya, maklumat yang sepatutnya sampai kepada mereka telah
tidak sampai. Penceramah yang berkaliber amat jarang menjenguk ke sana. Yang
ada hanya pemimpin tempatan, yang bukan sahaja kurang wibawa, tetapi juga
kurang maklumat terkini.
Strategi
mesti segera diubah. PAS, keADILan, PRM dan DAP mesti muafakat dalam hal ini.
Jangan terlalu bergantung kepada ceramah. Cukuplah ceramah setakat yang ada.
Malah boleh kurangkan pada tempat-tempat yang terlalu banyak. Atur program yang
lain pula, yang lebih berkesan.
Bukannya
mudah untuk menghadapi serangan dari media akhbar harian dan televisyen yang
dikawal oleh Umno/BN. Harakah, Detik,
Muslimah dan Tamadun terlalu
kecil dan kerdil untuk dibandingkan, atau digandingkan untuk bersaing mencari
kemenangan. Dan khabarnya peningkatan edaran Harakah daripada 60,000 naskah kepada 280,000 naskah itu pun
kebanyakannya beredar di sekitar Lembah Klang juga.
Ertinya,
Barisan Alternatif tak boleh terlalu harapkan pada Harakah dan majalah-majalah serta buku-buku yang pro-Alternatif
itu. Mesti ada strategi lain. Lain daripada ceramah dan lain daripada Harakah. Apa dia?
Dewan
Pemuda PAS Negeri Kedah bersama dengan PAS
Kubang Pasu pernah mengadakan program Ops Tawan Kubang Pasu, misalnya,
Saya sempat menghadirinya dan mendapatinya sangat menarik dan cukup berkesan.
Apabila diceritakan kepada pihak-pihak Alternatif di KL, ramai yang tertarik dan
mencadangkan supaya program yang serupa itu dijalankan juga di tempat-tempat
lain. Bahkan ada yang mencadangkan supaya pihak yang menjayakan program di
Kubang Pasu itu dijemput memberikan kursus kepada jentera-jentera Alternatif
dari seluruh negara, supaya program itu dapat dijalankan di seluruh negara.
Agenda
terpenting daripada program itu ialah kempen dari rumah ke rumah. Itu saja.
Tetapi untuk menjayakannya tidaklah semudah itu. Perlu penyelidikan terlebih
dahulu untuk mengenal pasti setiap rumah dalam Bahagian/Kawasan berkenaan, yang
mana yang menyokong kita dan yang mana yang tidak. Perlu pula tenaga “mahir”
yang mencukupi untuk pergi ke setiap rumah yang telah dikenal pasti itu. Mereka
diperlengkapkan dengan maklumat-maklumat yang diperlukan bagi menjayakan misi
untuk mempengaruhi orang berkenaan supaya menyokong perjuangan kita.
Memang tidak
mudah melaksanakannya. Ia bukan satu program yang boleh terus dijalankan begitu
sahaja. Ia memerlukan penyelidikan, organisasi yang cekap, tenaga mahir yang mencukupi
dan juga kewangan.
Itu satu contoh program yang
boleh dibuat. Sekadar menyebut satu contoh. Maka tentulah banyak lagi
program-program lain yang boleh dibuat. Eloklah kita berfikiran terbuka dan
berbincang dengan tenang. Jangan terlalu taksub dan yakin akan kemenangan,
tanpa mengambil kira kekuatan pihak lain.
Isu
Anwar keracunan arsenik, misalnya. Pihak Alternatif bolehlah mencemuh,
mengatakan siapakah akan percaya kepada propaganda atau pembohongan pihak BN
yang mengatakan isu itu sengaja dibuat-buat oleh pihak Anwar. Jangan terkejut!
Sebenarnya isu itu lebih banyak memberikan kesan negatif daripada positif
kepada pihak Alternatif.
Saya sendiri banyak bertemu dengan orang yang
percayakan apa yang dilaporkan oleh pihak akhbar harian dan televisyen, yang
mengatakan ujian HUKM telah membuktikan bahawa Anwar tidak mengalami keracunan
arsenik. Bahkan seorang kawan yang sebelum ini bersimpati dengan Anwar,
tiba-tiba berubah, disebabkan oleh isu arsenik. Dan dia bukan orang pendalaman
yang tidak sampai maklumat terkini. Dia seorang pegawai tinggi yang tinggal di
KL, yang bacaannya bukan sahaja sumber-sumber dalam negeri, tetapi juga
sumber-sumber luar negeri.
Betul!
Jangan main-main. Jangan ingat orang sudah hilang kepercayaan kepada akhbar
harian dan televisyen.
Soalnya,
apakah yang pihak Barisan Alternatif lakukan untuk menangkis segala dakyah dan
propaganda Umno/BN yang hari-hari mengasakkan maklumat mengatakan dakwaan Anwar
keracunan arsenik itu bohong semata-mata, untuk meraih simpati rakyat kepadanya
yang telah melakukan salah laku seks?
Jawapannya,
sekali lagi, Harakah dan
ceramah-ceramah telah memberikan penjelasan. Tetapi ternyata, hakikatnya, Harakah dan ceramah-ceramah itu tidak
berkesan. Orang masih percaya kepada akhbar-akhbar harian dan televisyen. Maka
sesuatu yang lain lagi adalah perlu dilakukan. Sangat-sangat perlu.
Itu
baru perkara yang “nyata” seperti isu arsenik. Belum lagi ditimbulkan
bermacam-macam perkara yang “tidak nyata”.
Maka
sama-samalah kita berikhtiar, sambil berdo’a kepada Allah.
Dinsman.
11 Novemver 1999