Make your own free website on Tripod.com

Pengunjung WEB Menulis…

 

MAMPUKAH UMNO PERTAHAN KUASA?

Aimi Faiz Sulaiman.

 

 

Tarikh pilihanraya umum sudahpun diketahui. Parti-parti yang bertanding begitu sibuk menyiapkan diri untuk mempastikan segala-galanya berjalan lancar. Parti kerajaan dan gabungan parti-parti pembangkang sudahpun mengerahkan jentera di bahagian tertentu bagi melakukan sebaik mungkin untuk menjamin kemenangan.

 

11 Oktober 1990. Jam 9:30 pagi ; hari penamaan calon seluruh negara. Di pejabat Daerah Hulu Selangor orang ramai sudahpun bertumpu untuk menyaksikan hari bersejarah. Para penyokong parti terutamanya dari BN dan Umno begitu megah dengan memakai topi dan baju T yang sudah ditempah.  Berkibaran bendera parti yang dibawa dengan pelbagai laungan dan nyanyian. Laungan `hidup Mahathir’. `Hidup Umno’. `Hidup BN’ bersilih ganti. Lagu `Malaysia Jaya’ dan Selawat juga turut berkumandang. Penyokong Umno dan BN sudah awal-awal lagi  bertebaran di lapangan pejabat tersebut.

 

Selang beberapa minit kemudian, para penyokong PAS bersama calon berjalan beriringan dari luar  menuju ke pejabat daerah. Mereka juga membawa bendera dan sepanduk seperti slogan ;-`Hidup Bersama Islam’. Hanya ada kira-kira 30 orang dewasa, ada yang memakai serban dan berkain pelekat. Di kalangan wanitanya pula semuanya bertudung labuh dan ada seorang dua yang memakai purdah.

“ Aku kesihan melihat penyokong PAS,” kata seorang rakan wartawan kepada saya.

 

“Kenapa?”soal saya kembali.

 

“ Habis di telan dengan penyokong Umno” jawabnya sambil menikmati rokok Dunhill.

 

Mata saya melerek melihat para penyokong PAS. Terlalu sedarhana dan seolah-olah begitu naif. Mereka tidak mempunyai wang untuk membeli pelbagai kelengkapan dan hanya bergantung seratus peratus kepada semangat. Alangkah sedarhananya mereka…

 

“Dik ke sini sekejap…” laungan rakan kepada salah seorang anak kecil yang berada di kelompok penyokong PAS. Pakaian Melayunya agak lusuh di samping memakai kopiah putih.

 

“Sini dik. Sana panas…” kata rakan apabila anak kecil itu menghampiri kami.

 

Anak itu hanya menundukkan kepala. Dia berdiri di samping kami sambil memerhatikan orang di sekeliling. Walaupun berpakaian lusuh, tetapi dari air muka menunjukkan keberanian dan semangat. Sesuatu yang tiada pada sesetengah pemimpin Umno.

 

“Mana ayah?”

 

“Tu…” tunjuknya kepada seorang lelaki tua yang begitu asyik memegang bendera. Kami melambai tangan ke arah orang tua dan disambut dengan senyuman.

 

Mungkin sama seperti rakan saya itu, alangkah sayunya hati ini. Para penyokong PAS begitu bersemangat walaupun mata-mata liar penyokong Umno seolah-olah menyebek  mereka. Adakah kerana kekurangan ini `orang-orang Melayu dalam PAS’ seperti dihina?Adakah kerana mereka kurang penyokong berarti PAS lemah dan Umno kuat? Alangkah kagumnya hati ini dengan semangat dan keberanian mereka!!!   

 

Hari berkempen sudah bermula. Beberapa hari menjelang hari pengundian pilihanraya umum Oktober 1990, prospek Semangat 46 dan PAS bagi menewaskan UMNO bagi beberapa kerusi memang sukar di pertikai. Bagaimanapun kesilapan perhitungan Tengku Razaleigh Hamzah yang telah bekerjasama dengan DAP dan empat hari lagi menjelang pilihanraya dengan PBS memberi kesan politik sebaliknya kepada Semangat 46. PBS empat hari menjelang pilihanraya telah menikam Dr Mahathir dari belakang dengan bertindak keluar dari BN dan memulakan kerjasama dengan Kuli. Pada mulanya Kuli sendiri menilai bahawa tindakan itu menguntungkannya. Secara angkuh dia memberitahu para wartawan bahawa ekoran tindakan itu, soalnya bukan lagi samada Gagasan Rakyat pimpinan Semangat 46 akan membentuk kerajaan atau tidak tetapi berapakah majoriti yang bakal diperolehinya.

 

Pada waktu itu di mata Kuli, UMNO sudah kalah. Tetapi kesilapan Kuli memakai tengkolok Kadazan yang dikatakan mempunyai lambang salib bagaimanapun telah menukar nasib politik Semangat 46 dan juga Kuli. Perbuatan itu telah digunakan sebagai senjata berkesan oleh UMNO dan kerajaan pimpinannya untuk membuktikan bahawa Kuli sebenarnya bukanlah seorang pemimpin Melayu yang wajar disokong kerana beliau akan menjadi alat bukan Melayu dan Islam sekiranya menjadi Perdana Menteri. Ramai pemerhati mengatakan tengkolok bersalib yang melambangkan agama Kristian itu telah menyebabkan sokongan Melayu kembali semula kepada UMNO.

 

Kuli tumpas kerana peranan `media massa'. Kuli dan Semangat 46 tidak berjaya membentuk kerajaan yang disifatkan waktu paling tepat ketika itu untuk menumbangkan Barisan Nasional dan UMNO kerana lambang salib yang dimainkan oleh media massa. Para pengundi Melayu `terkejut' malahan mungkin sesetengah pemimpin pembangkang dengan isu yang dimainkan oleh `mainstream media'. Mereka tidak sempat untuk bertindak balas dalam jangkamasa selama empat hari kerana UMNO dan kerajaan sudah menguasai sepenuhnya `mainstream media'. Pimpinan pembangkang berkecamuk seketika dan akhirnya mereka bergerak bersendirian tanpa bantuan dari rakan-rakan lainnya.

 

UMNO dan Barisan Nasional sememangnya mempunyai pelbagai fasiliti dan kekuatan untuk meraih pengundi. Dalam tempoh dua minggu waktu berkempen sebelum menjelang hari pengundian, mereka akan menggerakkan apa jua jentera untuk mempastikan kemenangan. Antara jentera utama adalah `media massa'. Media massa samada media cetak ataupun elektronik memang diiktiraf sebagai alat penyampaian maklumat yang penting bagi membangunkan sesebuah masyarakat dan negara. Walaupun ia diberi kebebasan dalam membuat liputan untuk pengetahuan umum, tetapi ia juga dilihat bertanggungjawab dan bertindak tidak terkeluar daripada etika yang sedia diamalkan.

 

Peranan media massa sudah diakui sebagai suatu alat penyampaian maklumat yang sangat berkesan dan berpengaruh dalam perkembangan politik sesebuah negara. Memang diakui bahawa media massa juga bertanggungjawab dalam mewujudkan suasana perkembangan politik yang positif atau sebaliknya.

 

Mainstream media yang dikuasai kerajaan begitu dominan. Sesetengah mereka bertindak mengikut arahan dari `tangan-tangan ghaib'. Dalam isu Dato Seri Anwar Ibrahim, media massa utama berjaya memecahbelahkan minda rakyat dengan meletakkan Dato Nik Aziz Nik Mat tidak menyokong Anwar dengan memetik pandangan-pandangan positif mengikut selera mereka sementara Dato Fadzil Nor dilihat berpihak kepada Anwar. Kesan daripada gambaran yang diberi menunjukkan seolah-olah PAS sudah berpecah iaitu kumpulan menyokong atau menentang Anwar.Bagaimanapun, apabila Nik Aziz bertindak `mencabar kerajaan' , pemimpin media cuba memainkan isu `sokongan Malaikat dan Syaitan'. Kenyataan Nik Aziz digambarkan memberi satu imej buruk kepada PAS seolah-olah tidak memahami Islam. Dan masyarakat umum `terperangkap' kerana ini adalah cara yang paling mudah untuk memahami dan mengikuti perkembangan politik semasa iaiatu melalui berita-berita yang disiarkan oleh media massa.

 

Pilihanraya umum 1990 jelas menunjukkan betapa dominan dan berkuasanya media ;-sebagai raja tidak bermahkota, sehingga menjatuhkan Kuli dengan Semangat 46 dan parti-parti pembangkang lainnya.

 

Peranan media massa yang dikuasai oleh kerajaan bukan sahaja berlaku di negara ini malahan di negara-negara lain. Media massa boleh menjadi penentu kepada kestabilan dan kemenangan kepada sesebuah parti politik.Di sesetengah negara membangun seperti Filipina dan negara-negara Amerika Latin ada wartawan yang hilang, dibunuh malah diugut oleh pihak-pihak tertentu yang merasai kedudukan mereka boleh tergugat dengan pendedahan berita.

 

Dalam konteks pilihanraya umum, bukan sahaja media massa memainkan peranan penting malahan institusi lain yang berkaitan dengan kerajaan turut serta membantu samada secara langsung mahupun tidak. Apa jua peranan institusi di bawah kementerian tertentu seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar Bandar, Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah, Kementerian Kerjaraya dan lainnya serta kerajaan-kerajaan negeri yang menubuhkan pelbagai agensi bertindak membantu UMNO dan Barisan Nasional dalam tempoh sembilan hari pen.

 

Dalam jangkamasa memerintah yang begitu lama melainkan di negeri Kelantan yang dikuasa oleh PAS, UMNO begitu dominan sehingga mereka menjadi penggerak utama di semua peringkat bukan sahaja di desa-desa terpencil, di kampung-kampung dan di kawasan rancangan pembangunan tanah malahan ia juga turut aktif di pekan, bandar dan kota. Orang-orang UMNO memainkan peranan penting dalam berbagai badan dan organisasi dan institusi yang wujud di semua peringkat. Semangat UMNO yang menguasai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pengerak kumpulan belia  dan Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI). Kumpulan UMNO ini sudah berakar umbi;-tidak termasuk agensi-agensi kerajaan yang sentiasa aktif sebagai aktiviti harian mahupun `Spy tidak berbayar' seperti peranan KEMAS ataupun Penerangan.

 

Selain itu, UMNO mendapat pelbagai kemudahan fisikal seperti dewan orang ramai, dewan sekolah, dewan tadika sehingga ke padang sekolah. Sedangkan pembangkang tidak mempunyai kemudahan yang mencukupi melainkan baik sedikit di Dewan Perhimpunan China yang tentunya mengenakan kadar yuran tinggi. Selebihnya mereka hanya berceramah di kediaman penyokong ataupun ahli parti.

 

Satu kes yang menarik semasa pilihanraya kecil Ampang Jaya pada  1989 apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dibenarkan berucap di salah sebuah Dewan Sekolah Rendah di salah sebuah cawangan di bahagian Ampang Jaya sedangkan pada waktu yang sama seorang pemimpin PAS pusat  hanya dibenarkan berucap di salah sebuah rumah penyokongnya yang mempunyai ruang sempit dan kurang selesa. Ketika berucap Muhammad diberikan `sound system' yang canggih dan jelas daripada van Penerangan sedangkan pemimpin PAS menggunakan `sound system' yang tenggelam timbul. Sedangkan van penerangan adalah kepunyaan kerajaan tetapi ia boleh digunakan oleh UMNO sedangkan tidak pembangkang.

 

Selain itu, tindakan kerajaan mengikat rakyat dengan memberi pelbagai kemudahan begitu menyukarkan pembangkang untuk mempengaruhi dalam tempoh sembilan hari  waktu berkempen. Satu kes yang menarik apabila Amanah Saham Negeri Selangor (ASNS) ditubuhkan, kerajaan negeri telah mengadakan skim pinjaman Amanah Saham Nasional/Amanah Saham Bumiputera tanpa dikenakan faedah kepada bumiputera yang termasuk dalam takrif miskin atau pendapatan kurang daripada RM400 sebulan.Hampir 10,000 rakyat dari seluruh Selangor memperolehi kemudahan ini. Apa yang lebih menarik, ada juga peruntukan yang diberi oleh kerajaan negeri kepada ahli-ahli UMNO dari pelbagai peringkat dengan jumlah tertentu supaya menjadi ahli ASNS. Mereka tidak mengeluarkan wang satu senpun melainkan dalam tempoh tertentu mereka akan mendapat sejumlah wang yang dipinjamkannya itu.Bayaran bulanan yang dikenakan juga rendah dan mampu diselesaikan.Tidakkah ini memberi impak positif kepada pengundi-pengundi untuk terus menyokong UMNO? Bagaimana pula keadaannya dengan negeri-negeri lain yang turut serta mengujudkan Amanah Saham negeri-negeri.Ini juga perlu diambilkira kerana apa yang diterima sekarang adalah dividen dan bonus setiap tahun.Apatahlagi jika pilihanraya umum diadakan sebelum menjelangnya pemberian dividen dan bonus yang berlipat kali ganda!

 

Contoh pemberian pinjaman saham adalah ikatan dari jangkapanjang yang sukar mempengaruhi pengundi untuk mengundi pembangkang. Dalam jangkamasa pendek iaitu tempoh pilihanraya umum, seperti yang disebutkan di atas, UMNO sememangnya mempunyai pelbagai kemudahan dan sokongan ketika berkempen. Beberapa agensi kerajaan berganding bahu untuk mempastikan kemenangan berpihak kepada UMNO walaupun ada kemungkinan beberapa `kerat' manusia dalam agensi terbabit yang menyokong pembangkang. Beberapa `kerat' yang menyokong pembangkang tidak berupaya untuk mempengaruhi pengundi memandangkan risiko `cari makan' boleh menentukan masa depan mereka. Oleh itu kita tidak pernah mendengar mana-mana kaki tangan dalam agensi kerajaan yang tidak terbabit secara langsung dengan UMNO berkempen `habis-habisan' menentang UMNO. Mereka hanya mampu membantu satu undi (iaitu untuk diri sendiri sahaja).

 

Berbeza pula dengan mana-mana agensi yang terus berada di bawah naungan UMNO seperti Penerangan, KEMAS dan pertubuhan Belia lainnya, mereka akan bekerja bertungkus lumus tanpa mengira waktu untuk membantu `kempen-kempen' pilihanraya.Selain daripada kemudahan yang bakal diperolehi jika seorang calon UMNO `menang' mereka juga sudah disediakan dengan pelbagai fisiliti termasuk `wang saku'. `Wang saku' dilihat sebagai `motivasi' mereka bergerak.

 

Dalam satu contoh klasik yang berlaku di pilihanraya umum 1986, sebuah kampung di salah sebuah bahagian negeri Terengganu dilihat sebagai kubu PAS. Calon PAS ketika itu sememangnya yakin bahawa kampung tersebut akan menjadi tunggak kepada kampung-kampung lain bagi membantu kemenangan calon di kawasan tersebut. Dalam tempoh berkempen, tiba-tiba sahaja beberapa buah lori Tenaga Nasional Berhad(TNB) telah menurunkan kayu tiang elektrik di sepanjang jalan utama menuju ke negeri Kelantan. Ia memberi gambaran jika mereka memilih BN dan UMNO sudah pasti kampung tersebut akan `bermandikan cahaya' kerana mendapat bekalan elektrik. Dan pastinya kampung tersebut memilih calon UMNO kerana mahukan `bermandi cahaya' di rumah masing-masing.

 

Bagaimanapun khabarnya selepas selesai pilihanraya kayu itu diambil balik kerana `masalah taknikal' dan penduduk kampung itu terpaksa bergelap semula! (kini sudahpun ada bekalan elektrik kampung tersebut). Ini baru peranan agensi secara tidak langsung seperti TNB ataupun telekom.

 

Selain tentangan daripada agensi-agensi kerajaan dan UMNO secara langsung mahupun tidak langsung, penubuhan konsortium ataupun konglomeret oleh kerajaan negeri dan pusat juga boleh menyukarkan pembangkang. Penubuhan konglomeret dengan kerjasama dalam dan luar negara memberi kesan positif kepada UMNO dengan memberi pelbagai `hadiah' kepada pengundi sebelum hari pengundian. `Hadiah' seperti pemberian komputer, mineral pot, makanan secara percuma kepada kanak-kanak sekolah selama setahun, jam antik atau sound system tercanggih kepada masjid dan sebagainya. Ini tidak termasuk kepada korporat baru dan `muda' yang memperolehi pelbagai kemudahan dari pemimpin UMNO dan kerajaan. Mereka melalui anak-anak syarikat turut serta memberi pelbagai hadiah kepada ratusan kampung dan desa yang terpencil.

 

Pimpinan UMNO dan Barisan Nasional `bijak' dalam percaturan politik pilihanraya (melainkan `mungkin' negeri Kelantan). Strategi mereka sentiasa bertukar tanpa disedari oleh kumpulan pembangkang. Mereka juga mungkin sedang secara mendalam mengkaji slogan pembangkang `duit ambil, undi belum tentu' yang telah mereka gunakan dalam pilihanraya umum lalu. Tidak mustahil, pemberian empat tin sardin, dua helai kain pelekat dan RM50.00 tidak lagi digunakan dalam pilihanraya umum depan. Mereka sedang cuba mengambil pendekatan yang lebih bermakna membabitkan psikologi dan kepercayaan pengundi. Kita tidak tahu apa pendekatannya tetapi ia bukan mudah untuk dikesan dalam tempoh dua minggu menjelang pilihanraya umum.

 

Bagaimanapun ini adalah pilihanraya 1990 dan hampir sama juga dengan pilihanraya umum 1995 lalu. Ketika itu `kuasa rakyat’ tidak dilihat sebagai penghalang kepada kekuatan dan keangkuhan Umno dan menguasai semula kerajaan. Kali ini keadaan begitu berbeza. Rakyat sudah mula menyedari hak dan kuasa mereka untuk menentukan pemerintahan yang amanah dan betul. Rakyat sudah celik dengan pelbagai isu terutama sekali selepas pemecatan Dato Seri Anwar pada 2 September 1998 lalu. Rakyat sudah berani bangkit dan meluahkan perasaan di jalanan. Bagi mereka, ada sesuatu yang mesti diperbetulkan.Kerajaan tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh menyenangkan hati sesetengah pemimpin dan melukakan hati rakyatnya.

 

Segala-galanya akan dibuktikan pada 29 November 1999 ini. Ini adalah pilihanraya umum kali terakhir sebelum menjelangnya abad alaf baru. Ini adalah penentu sejauhmana kematangan rakyat dapat diterjemahkan dalam peti undi. Kita tidak mahu rakyat terutama orang-orang Melayu kekal dengan `semangat hangat-hangat’ tahi ayam atau terbakar sekali dan padam sepanjang hayat. Seorang rakan pernah memberi tahu, orang-orang Melayu begitu dikenali sekali dengan 3P. Iaitu `Pelupa’, `Pemaaf’ dan `Pengasih’. Semangat Melayu boleh dipertahan sehingga lebih setahun penentangan mereka terhadap Umno kenapa tidak kepada waktu mengundi kelak?

 

Berbeza dengan waktu lalu, masa kempen hanya dihadkan kepada sembilan hari sahaja. Hari penamaan calon adalah pada 20 November sementara hari mengundi adalah pada 29 November 1999. Parti pembangkang yang melalui gabungan PAS, DAP, Parti Keadilan Nasional dan PRM sudahpun menunjukkan `belangnya’ bersama-sama dengan sokongan rakyat. Segala jentera Umno dikatakan sudah hampir lumpuh. Rakyat tidak boleh menerima Anwar dilebamkan mata begitu sahaja. Rakyat tidak mahu melihat Wan Azizah dan Nurul Izzah terus terkapai-kapai kerana `kerakusan’ pemimpin yang berkuasa. Barangkali, rakyat sekarang sudah mempunyai perkiraan. Hati mereka sudah tetap untuk mengundi sesiapa. Buktikanlah bahawa orang-orang Melayu bukan 3P. Buktikanlah…

 

            ##