Make your own free website on Tripod.com

Mahathir Terus Tersilap dan Tersilap

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

 

Umno kini berada di persimpangan yang paling sukar pernah dihadapi sepanjang 55 tahun usianya. Situasinya kini lebih perit berbanding suasana selepas pilihan raya 1969 yang memaksanya mengadakan persefahaman politik dengan PAS, yang akhirnya membentuk kerajaan campuran Perikatan-PAS, seterusnya menubuhkan Barisan Nasional.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Affifudin Omar, yang tidak terpilih sebagai calon BN di Padang Terap secara terbuka mengakui bahawa hanya tinggal 30 peratus pengundi Melayu sahaja yang setia menyokong Umno. Ini kerana, katanya, Umno kini terlalu banyak mencipta dan mengundang musuh. Semua pihak hendak dilawannya, daripada ulamak, pelajar, NGO dan sebagainya.

Sesungguhnya penyelamat bagi Umno untuk terus menerajui kerajaan hanyalah pengundi Cina. Selepas ini pemimpin Umno akan dibayangi rasa terhutang budi yang amat sangat terhadap masyarakat Cina, yang memungkinkan banyak dasar dan rancangan kerajaan yang akan memihak masyarakat bukan Melayu. Dan tidak mustahil kepentingan golongan majoriti Melayu akan terpinggir begitu sahaja.

Sebagai parti yang selama usianya berada di puncak kekuasaan -- kecuali di peringkat yang terhalang di Kelantan dan Terengganu, dan pernah satu ketika di Sabah dan Pulau Pinang pemimpin Umno sudah pasti akan merumuskan idea-idea baru mencari jalan keluar untuk mendekati masyarakat Melayu dan pengundi Islam. Bukan sedikit kecederaan yang dialami Umno, khususnya selepas tragedi pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada September 1998.

Calar di tubuh Umno tidak semudah itu untuk disembuhkan. Orang Melayu buat pertama kali bangkit secara terbuka menolak Umno, tidak terhad lagi di wilayah tradisi kubu kuat PAS, tetapi sudah merebak ke bandar-bandar besar. Malah, di Lembah Klang, melihat undi calon Barisan Alternatif di kawasan majoriti Melayu (sebenarnya kawasan campuran), umpamanya Lembah Pantai, Titiwangsa, Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Batu, Shah Alam, Gombak dan seumpamanya, Umno boleh dianggap "parti reput".

Kelas menengah Melayu tidak segan silu menyokong Alternatif meskipun disedari mereka mungkin menempuh risiko alang kepalang dengan tindakan itu. Begitu juga dengan sikap pengundi wanita yang selama ini dianggap penyelamat kepada Umno dalam situasi sulit. Anak-anak muda Melayu yang dulunya tidak ambil kisah persekitaran dan isu sekeliling bangkit dari lena yang panjang dengan menyertai perhimpunan menyokong tuntutan reformasi walaupun dihambat FRU dan disembur gas pemedih mata.

Mungkin juga benar telahan sesetengah pemimpin Umno bahawa banyak juga undi yang memihak Alternatif adalah undi protes terhadap Umno dan bukannya undi yang menyokong PAS ataupun keADILan. Tapi, dalam pilihan raya, setiap undi begitu bernilai tidak kira sama ada ia undi menyokong ataupun undi protes. Lagi pula, ini adalah satu permulaan. Secara beransur-ansur undi protes boleh diterjemahkan kepada undi yang benar-benar menyokong.

Khususnya PAS yang mempunyai mekanisme terbaik untuk merapatkan hubungan dengan penyokong-penyokongnya, maka imej Umno sebagai parti Melayu akan luntur, seluntur-lunturnya. Buktinya, beberapa perhimpunan ceramah perdana PAS di Markas Tarbiyyah PAS Pusat terus mendapat sambutan hangat walaupun diadakan tiga hari berturut-turut. Derma yang dipungut menjangkau puluhan ribu ringgit, tanda parti itu tetap dekat dengan masyarakat ibu kota.

Berdepan fenomena tidak diduga ini Umno kini bagaikan orang yang baru terjaga dari mimpi ngeri. Tindakannya untuk memulihkan keadaan dibuat secara gopoh-gapah, meneruskan suasana bagaimana ia berkempen semasa pilihan raya lalu. Banyak strategi tidak mengena, malah menikam balik diri sendiri. Entah siapa penasihat Mahathir baru-baru ini sehingga pendekatan kempen BN, terutama bagi iklan dan propaganda untuk pengundi Melayu, kelam-kabut dan caca-marba sekali.

Mulanya pemimpin-pemimpin Umno saling salah menyalahkan teman sendiri. Masing-masing tidak mahu memikul tanggungjawab menanggung beban kekalahan. Di Terengganu segala asakan ditujukan kepada bekas Menteri Besar, Wan Mokhtar Ahmad. Banyaklah kecaman dilemparkan. Tidak kurang pula analisis sendiri yang membuka pekung di dada. Begitu juga dengan perkembangan di Kedah. Sanusi yang tidak berjaya ditahan dari memegang jawatan Menteri Besar oleh 22 Adun Umno tidak lama dulu, terpaksa melutut melepaskan jawatan berdepan 12 Adun PAS, yang diketuai Presidennya, Ustaz Fadzil Mohd Noor. Khalil Yaakob seakan-akan mahu membuka medan pertempuran baru di Pahang apabila menyindir tajam kemenangan tipis Najib Razak di Pekan.

Yang pasti, tidak ada pihak secara terbuka berani menimbulkan bahawa sebenarnya faktor Mahathir yang menyebabkan undi Umno jatuh menjunam. Kalau Wan Mokhtar dianggap kuda tua, mengapa istilah yang sama tidak boleh dikalungkan ke leher Mahathir. Kalau Sanusi dikecam kerana membawa idea dan projek Mat Jenin di Langkawi, mengapa pula tindakan Mahathir memecat Anwar dan menentang ulamak tidak dirumuskan sebagai faktor utama undi Umno beralih kepada Alternatif.

Inilah dilema yang menghinggap mentaliti ahli-ahli Umno kini. Mereka bukan buta realiti untuk terlalu sukar memahami fenomena semasa yang menyaksikan pengundi Melayu begitu muak dan jelak dengan Mahathir. Presiden Umno yang hampir ditewaskan Tengku Razaleigh pada April 1987 itu dikatakan sudah hilang sensitivitinya terhadap perkembangan semasa dalam masyarakat Melayu.

Banyak tindakan Mahathir selama ini menyinggung hati, malah memarakkan lagi amarah orang Melayu. Orang Melayu dipersenda secara terbuka, mentaliti mereka diperbodoh-bodohkan. Ulamak yang mereka sanjung dihina begitu teruk sekali. Segala tilam dan lendir yang keluar masuk mahkamah menjadi bukti bahawa maruah dan kehormatan Melayu sedang diinjak Mahathir.

Bayangkan, Mahathir tidak dapat memahami realiti yang melingkunginya. Dia terus asyik dengan taukeh-taukeh besar dan usaha menyelamatkan kroni yang dibebani masalah hutang akibat kemelesetan ekonomi. Dia terus seronok dan ghairah mengadakan pertemuan dengan masyarakat bukan Melayu dan terus membelasah orang Melayu di depan audien Cina. Fitnah tidak henti-henti dilemparkan kepada Haron Din dan Nik Aziz, dan ia disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Gelombang kebangkitan amarah orang Melayu terhadapnya seperti tidak dihiraukannya ataupun tidak mustahil Mahathir tersilap membaca petunjuk di depannya. Keangkuhan dan kesombongan Mahathir ternyata sukar dikendurkan. Buktinya, biarpun Umno kalah teruk, namun tiada satu ungkapan darinya yang menunjukkan Mahathir mahu mengambil iktibar dari "kekalahan dalam kemenangan" itu.

Lebih melucukan, Mahathir memilih akhbar Jepun untuk terus mengarut dengan idea-idea palsunya tentang keputusan pilihan raya lalu. Tidak diduga seorang seperti Mahathir sanggup memutar-belitkan fakta dengan mendakwa bahawa kemenangan BN tahun 1999 lebih hebat berbanding kemenangan sebelumnya, pada pilihan raya 1995!

Sebenarnya Mahathir mempunyai dua pilihan sebagai langkah jangka panjang mengembalikan undi Melayu kepadanya. Pertama, pendekatan memujuk. Kedua, pendekatan mendera dan menghukum. Perlantikan Jemaah Menteri dan posisi yang diterajui tokoh-tokoh Umno jelas membuktikan bahawa Mahathir masih menyimpan rasa terhadap pemimpin tertentu Umno. Malaysia gempar apabila tokoh-tokoh pembangkang pula ditangkap dan di bawa ke depan mahkamah untuk dibicarakan di bawah Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi.

Persekitaran demokrasi semakin suram dan menjadi hitam apabila media yang tidak dapat dikawal secara mutlak oleh Umno dikenakan pelbagai tindakan, yang natijahnya hanya untuk memastikan media-media ini tidak lagi berani menelanjangkan segala kepalsuan dan membongkar penyalahgunaan kuasa elit pemerintah.

Rupanya majoriti kemenangan dua pertiga BN di Parlimen digunakan untuk terus menakutkan rakyat dan pemimpin pembangkang. Ini sekali gus membenarkan jangkaan pemimpin Alternatif yang siang-siang lagi mengingatkan rakyat agar jangan memberi kemenangan besar buat BN, kelak buruk padahnya. Tidak pasti sama ada pengundi yang menyokong BN dalam pilihan raya akan menyesal dengan tindakan mereka ataupun menganggap ini hanyalah masalah pembangkang atau orang yang mahu menimbulkan hura-hura dalam negara. Harus diingat propaganda usang dan lapuk Umno masih tebal dalam sebahagian pemikiran rakyat negara ini.

Namun begitu, tidak semestinya langkah drastik tidak demokratik itu akan menjayakan hasrat dan impian Mahathir. Ia mungkin hanya mengulangi salah jangka Mahathir selama ini. Mengharapkan rakyat takut dengan gertakan dan ugutan, hasilnya mereka semakin marah dan bertindak mengajar Umno dengan mengundi PAS. Mengharapkan pemimpin pembangkang tutup mulut, rupanya ia hanya memberi publisiti percuma kepada parti yang tidak seaktif dulu, misalnya keADILan.

Merampas Harakah yang dikatakan hanya edarannya terhad kepada ahli-ahli PAS semakin menggalakkan semangat ingin tahu pembaca dan menimbulkan kebencian berpanjangan kepada pemerintah. Bagi orang muda, mereka langsung tidak boleh memahami bagaimana akhbar nyamuk lidah rasmi PAS itu boleh mengancam keselamatan negara dan memesongkan kefahaman rakyat. Bukankah Umno sudah ada akhbar-akhbar yang jauh lebih luas pengedarannya dan tinggi tingkat kewartawanannya? Bukankah Umno juga mengawal mutlak siaran televisyen, yang dalam kempen pilihan raya baru-baru ini diperalatkan semahu mungkin bagi menakut-nakutkan rakyat daripada mengundi Alternatif?

Semakin gila jadinya apabila permit penerbitan majalah dua kali sebulan, DETIK, yang telahpun diluluskan pada 9 Disember 1999, dua hari sebelum Kabinet baru dibentuk, ditarik balik sewenang-wenangnya, tanpa alasan munabah. Apa hebatnya majalah kerdil ini untuk menandingi keperkasaan jentera media Umno yang menakjubkan itu? Benar sekali dakwaan bahawa kebebasan hanyalah ehsan dan bukannya hak yang menjadi milik setiap warga negara ini.

Kebebasan bersuara, termasuk kebebasan untuk menulis dan menerbit adalah petunjuk penting kepada iklim demokrasi sesebuah negara. Hanya pemimpin yang takut dengan kebenaran akan bertindak mengongkong media dan menghukum wartawan ataupun penulis yang tidak sehaluan dengan mereka. Malu sekali buat rakyat negara ini yang dicanangkan Malaysia akan menjadi negara maju menjelang 2020 sedangkan rakyatnya terus terkongkong dan terikat dengan budaya hamba yang menjadikan rencah ugutan dan gertakan santapan harian.

Jika hasrat Mahathir dan Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi, melancarkan tindakan tidak demokratik itu untuk memulihkan imej Umno, mereka rupanya terus mengulangi kesalahan, kesilapan dan kealpaan berpanjangan. Selain simpati yang datang mencurah-curah, imej Umno dan Malaysia semakin buruk di peringkat antarabangsa. Ini belum lagi diulas segala perkembangan mutakhir percaturan dalaman politik Umno. Mahathir terus tersilap dan tersilap.

Saya akan mengulas panjang dilema dalam pemikiran ahli-ahli Umno melalui artikel khusus tidak lama. Jumpa lagi di sana!