Make your own free website on Tripod.com

Kalau Orang Melayu Berani Tolak Umno, Mengapa Perwakilan Umno Sendiri Takut Untuk Membuat Perubahan

Oleh LUTFI OTHMAN

KUALA LUMPUR: Umno hampir pasti menyaksikan pertandingan paling sengit mengulangi tragedi 24 April 1987 apabila bahagian-bahagian Umno dikatakan sudah bersedia untuk mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah, sama ada bagi jawatan Presiden ataupun Timbalan Presiden.

"Sememangnya Ku Li sejak dulu tidak serasi dengan Mahathir. Cuma, dari segi strategi, kami tidak dapat pastikan, apakah jawatan yang paling sesuai untuknya bertanding," kata seorang yang mendakwa juru kempen bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46 itu.

"Desakan lebih tertumpu supaya Ku Li bertanding Presiden Umno. Tapi ada pandangan menyatakan, bagi mengelak perpecahan dalaman yang serius, lebih wajar dia menawarkan diri untuk bertanding jawatan yang kosong, yakni Timbalan Presiden. Ini bermakna, Ku Li tidak menentang sesiapa, baik Mahathir mahupun Pak Lah," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, saranan Ku Li agar pencalonan untuk kedua-dua jawatan tertinggi Umno dilakukan secara sulit dilihat mengesahkan ura-ura bahawa Ku Li berminat untuk jawatan berkenaan.

"Sememangnya Ku Li tidak ada perancangan untuk bertanding, tetapi kalau para perwakilan di bahagian-bahagian Umno mempunyai perancangan yang khusus buat Ku Li, itu adalah hak mutlak mereka," kata seorang pemimpin Umno bahagian di Selangor.

Masalah terbesar Ku Li, menurut seorang pembantu rapatnya, ialah keberanian perwakilan bahagian Umno untuk mencalonkan orang lain selain Mahathir dan Pak Lah bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

"Mereka memang mahukan perubahan segera memulihkan imej Umno. Ahli-ahli Umno juga sepakat merasakan Mahathir kini suatu beban buat parti yang akan mengheret Umno ke lembah kehancuran. Tapi, mereka takut menanggung risiko menentang Presiden. Cukuplah nasib buruk yang menimpa pemimpin dan penyokong Team B dulu," katanya.

Tepat sekali kata Musa Hitam, tambahnya, pertandingan dalam Umno ibarat perlawanan kalah mati. Yang kalah akan cuba dihapuskan bukan saja dari segi kerjaya politik tetapi juga periuk nasinya.

"Kalau orang Melayu biasa, yang sejak turun temurun menyokong Umno berani menentang Umno dalam pilihan raya, keberanian seperti itu juga dituntut kepada perwakilan-perwakilan Umno, demi menyelamatkan masa depan parti yang suram ini," tegas pembantu rapat Ku Li lagi.