Catatan : Artikal ini adalah mengantikan artikal saya yang tak mampu untuk menulis secara serius dalam situasi Pilihan raya.

 

Kematangan Pengundi

Memilih Yang Terbaik Teruji

Oleh BAHARUDIN NOOR

 

Apabila Parlimen dibubarkan secara tergesa-gesa,  ahli-ahli dan pemimpin Umno sendiri terkejut. Mungkin hasrat  Mahathir untuk membuat kejutan berjaya, tapi ia tidak  bermakna peluangnya mengulangi kemenangan besar 1995 berjaya. Dilihat tarikh pilihan raya yang diputuskan secara drastik, Mahathir sebenarnya tidak ada isu besar bagi menghalang kebangkitan rakyat sehingga terpaksa mengeksploitasi kenyataan Tok Guru Nik Aziz, bahawa PAS bersedia menerima bukan Islam menjadi PM, sebagai  modal besar menentang Alternatif.

 

Tidak ada isu besar bagi BN tidak seharusnya menggembirakan Alternatif. Sebaliknya mereka perlu lebih berwaspada, berhati-hati dan tidak terjerat oleh perangkap BN. Dapat dijangkakan banyak taktik kotor BN akan terserlah menjelang dua tiga hari sebelum mengundi. BN cukup bimbang dengan isu-isu yang melanda tanahair sepanjang 1995-99. Sikap Mahathir terhadap hukum Islam, mempersenda ulamak, menghina sunnah Nabi, mengurus ekonomi secara membazir dan menyangka hanya diri saja yang pandai, adalah antara isu-isu yang membebankan BN.

 

Ini belum dikira isu pemecatan Anwar secara tidak beradab, projek-projek mega dan mengabaikan kepentingan rakyat, amalan kronisme dan nepotisme, dan juga monopoli Daim untuk menguasai industri bank. Justeru, perhatian pengundi mesti dipesongkan. Membiarkan pengundi, secara matang dan terbuka, membahaskan prestasi dan rekod kerja BN selama lima tahun ini, boleh  membuatkan reputasinya menjunam dan rakyat hilang keyakinan.

 

Segala kaedah dan pendekatan akan dicari, malah telah tersedia, buat BN mengherotkan tumpuan pengundi kepada masalah sebenar yang dihadapi rakyat. Itulah juga yang dilakukan selama ini. Kempen pilihan raya BN adalah usaha paling intensif dan sistematik bagi mengelirukan tanggapan pengundi terhadap Alternatif. Ia  digambarkan bercakaran sesama sendiri, tamak kuasa, tidak boleh kompromi, meskipun mereka kini menggunakan hanya satu manifesto dan memastikan satu lawan satu. Ini  satu rekod gemilang yang tidak pernah dicapai sebelumnya.

 

Kematangan pengundi Malaysia teruji, sama ada untuk terus dikelirukan dengan “isu-isu yang bukan isu” ataupun tetap rasional menekuni dilema umat yang kian berserabut di bawah pemerintahan BN.

 

##