Make your own free website on Tripod.com

Berikut merupakan terjemahan bebas rencana tulisan Askiah Adam mengenai pemilihan dua jawatan tertinggi Umno yang pernah disiarkan di dalam akhbar The New Straits Times, dan juga menjadi rencana yang dikatakan menyumbang kepada pemecatan pemimpin akhbar berkenaan, Datuk A. Kadir Jasin.

ISU PERLANTIKAN TIMBALAN PRESIDEN: MT UMNO

CUAI?

Kenyataan Dr. Mahathir bahawa keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno agar jawatan Presiden tidak dipertandingkan, dan memberi laluan kepada Abdullah Badawi menjadi Timbalan Presiden hanya bersifat "nasihat" dan bukan "arahan". Secara tidak langsung kenyataan itu juga seperti suatu hikmah yang dikira tidak dikongsi sepenuhnya oleh mereka yang menganggotai MT.

Hujah perpaduan parti sebagai alasan untuk menggantung perjalanan demokrasi dalam Umno dan untuk mengelakkan segala kesan negatif akibat pertandingan disifatkan sebagai suatu alasan yang terlambat untuk diketengahkan. Umno sepatutnya sudah bersatu terlebih dulu bersatu sebelum menghadapi pilihan raya umum lalu.

Hujah perpaduan itu tidak begitu sesuai jika diaplikasikan dalam konteks pemilihan dalaman parti, dan ia hanyalah kenyataan ikhlas dicernakan melalui firasat dan analogi mudah oleh pemikiran seorang individu yang melakukan introspeksi atau muhabasah.

Namun seperti individu yang melakukan introspeksi itu, parti tidak boleh mengelakkan diri daripada keinginan yang tinggi di kalangan ahli-ahlinya. Apa yang dicadangkan oleh Perdana Menteri itu merupakan suatu kebimbangan sahaja. Malah beliau turut mengingatkan mereka yang akan bertanding jawatan Naib Presiden agar tidak melakukan perkara-perkara yang membawa kepada perpecahan parti.

Tidaklah sukar untuk mencari alasan mengapa MT mudah menerima nasihat Dr. Mahathir agar dua jawatan penting itu tidak dipertandingkan. Ia sebagai menghormati ketokohan seorang pemimpin yang telah memajukan negara ini dan memperkealkannya kepada dunia. Beliau telah menjadikan kita bangga sebagai rakyat Malaysia.

Sungguhpun Umno mengalami kemerosotan ketara dalam pilihan raya baru-baru lalu, Dr. Mahathir terus memberikan khidmatnya kepada negara dengan baik, dan berjaya membangunkan ekonomi negara. Biasanya Perdana Menteri lain yang berada di kedudukan dan situasinya, akan mengkhiri kerjaya mereka dengan meletak jawatan. Malah kini ramai jutawan di negara ini berbangsa Melayu.

Maka dengan terus mengangkat beliau sebagai peneraju utama parti dan negara adalah suatu tindakan yang bijak. Namun membiarkan jawatan Timbalan Presiden diisi tanpa bertanding adalah suatu tindakan yang sebaliknya kurang bijak. Ini kerana Timbalan Presiden biasanya, akan menggantikan Presiden sebagai Perdana Menteri suatu hari nanti. Inilah realiti politik Umno dan Malaysia.

Malah Perdana Menteri telah membayangkan kemungkinan yang sama bahawa Timbalan Presiden akan dilantik menjadi Perdana Menteri jika beliau mengundurkan diri. PM sendiri turut membayangkan bahawa penggal ini merupakan penggal terakhir beliau, memandangkan umur akan menjadikan seseorang tidak mampu lagi bekerja keras.

Apabila Dr. Mahathir mengundurkan diri, pastilah tempatnya akan diambil alih oleh Timbalan Presiden parti. Dan Perdana Menteri baru akan mewarisi sebuah ngara yang sedang pesat membangun, di mana kejayaan mempertahankan kepesatan pembangunan itu bergantung kepada kebolehan mentadbir teknologi yang berasaskan pengetahuan dan daya intelek.

Selain itu Dr Mahathir sering kali mengingatkan rakyat negara ini dan mengecam Barat bahawa demokrasi yang hendak dilaksanakan, mestilah sebuah demokrasi yang tidak merosakkan manusia dan menjamin pembangunan ekonomi terus berjalan rancak. Apakah bakal penggantinya nanti mempunyai pandangan dan keyakinan yang sama?

Beliau mampu mengenepikan kritikan-kritikan sesetengah pihak terhadap projek-projek mega yang dilaksanakan seperti KLIA dan MSC, dengan niat untuk memberikan Malaysia kemampuan bersaing suatu hari nanti. Apakah penggantinya nanti mempunyai pandangan dan semangat politik yang sama?

Beliau juga mampu melaksanakan dasar yang bertentangan dengan anjuran Barat seperti memperkenalkan kawalan matawang asing, menolak bantuan IMF dan menyalahkan penyangak matawang, apakah penggantinya nanti mampu melaksanakan tindakan yang sama untuk memastikan negara terus harmoni?

Jika segala sangkaan PM terhadap faktor pengancam kestabilan negara itu benar, kita akan berjaya mengelakkan diri daripada menerima bencana ekonomi yang sama kemudian hari.

Dengan contoh-contoh yang dikemukakan, mampukah pengganti beliau meneruskan tradisi sama untuk menjamin kemakmuran yang sedang dikecapi?

Mampukah pengganti beliau berhadapan dengan tokoh-tokoh agama konservatif melalui perdebatan ilmiah, sebagaimana mampu dilakukan oleh Dr.Mahathir? Atau apakah pengganti beliau tidak mampu berhadapan dengan pendekatan Islam konservatif yang agak berpengaruh di Malaysia dan membawa masyarakat keluar daripada pengaruh tradisi itu?

Ada yang berpendapat bahawa Malaysia sepatutnya berehat daripada memikirkan soal pembangunan fizikal yang keterlaluan dan hebat, serta lebih mementingkan pembangunan spiritual. Justru itu bakal pengganti PM mestilah seseorang yang boleh membawa Malaysia kepada keadaan itu iaitu mementingkan pembangunan rohani. Namun mengapakan mesti dipisahkan pembangunan rohani dengan pembangunan fizikal yang sedang dinikmati. Tidak bolehkah kedua-duanya berjalan seiring?

Jika Malaysia sejak dulu mampu menjalankan model pembangunan seperti yang dilaksanakan sekarang, pastinya peristiwa 13 Mei tidak akan berlaku. Bagaimanapun sejarah telah mencatatkan bahawa ianya berlaku.

Bagaimanakah seseorang itu dapat membayangkan, terutama kepada mereka yang nasib dan masa masa depan negara terletak di bahu mereka, boleh merelakan alasan perpaduan parti lebih penting daripada berusaha mencari seorang pengganti Perdana Menteri yang baik.

Benar, bahawa kita menghormati Perdana Menteri di atas jasa-jasa yang telah dicurahkan. Namun kita tidak dapat merelakan usaha memilih pengganti beliau diserahkan kepada sekumpulan kecil manusia dalam Umno, biar bagaimana berwibawanya kumpulan itu.

Nampaknya, apa yang telah dilakukan oleh MT Umno, seperti meletakkan kepentingan majlis itu mendahului kepentingan negara, dan ini bolehlah disifatkan sebagai suatu kelalaian dalam menjalankan tugas.

 

tamatun