Make your own free website on Tripod.com

 

      Kolum Cetusan Minda 1 - 11 November 1999

 

Pertama, Cermat; Kedua, Berhati-hatilah!

 

Kempen pilihan raya bagaikan medan pertempuran dalam peperangan. Salah strategi, silap pendekatan, terlalu yakin diri, bertindak tanpa kesesuaian masa, termakan umpan musuh, salah menempatkan petugas, bercakaran sesama sendiri, semuanya mendedahkan diri dengan kebinasaan. Dalam saat genting, kesalahan kecil dan kealpaan yang tidak disengajakan boleh “membunuh diri”.  Ia bakal dieksploitasi semahu-mahunya, dan dengan bantuan media seperti tv, imej parti boleh diselewengkan dalam masa singkat. Ingat: masa kempen, pengundi jarang dapat berfikir secara rasional dan matang!

 

Barisan Alternatif tentu lebih tertekan dengan tempoh singkat berkempen,  menyukarkan usaha  penerangan berkesan dilakukan terutama di kawasan pendalaman. Mahathir mengukir sejarah PM paling takut berdepan kempen pilihan raya. Jika dibandingkan, bermula  era Tunku Abdul Rahman -- yang pernah meletakkan jawatan sebagai PM bagi membolehkan kempen secara adil dilaksanakan pada 1959 – tempoh kempen mengecut apabila Mahathir mengetuai kerajaan. Rujuk jadual untuk perbandingan lanjut.

 

Tahun

Antara Bubar Parlimen & Penamaan Calon

Antara Penamaan dan Pengundian

Jumlah

1959

18

35

53

1964

17

35

52

1969

23

28

51

1974

8

16

24

1978

9

17

26

1982

9

15

24

1986

5

9

14

1990

7

10

17

1995

10

10

20

 

SPR di bawah Omar Hashim diharap mampu membuktikan bahawa institusi itu bebas dari sebarang pengaruh parti pemerintah dengan menentukan tempoh kempen yang munasabah. Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mencadangkan tempoh minimum selama 33 hari, yakni 5 hari antara pembubaran Parlimen dan writ pilihan raya, seterusnya 7 hari sehingga penamaan calon, dan sekurang-kurangnya 21 hari antara penamaan calon dan hari mengundi. Jika SPR terikat dengan tempoh yang dikehendaki Pengerusi BN dan Presiden Umno, wibawa badan bebas itu tercalar dengan lebih teruk lagi.

 

Meskipun diakui pilihan raya bagaikan satu pertempuran, namun ia tentunya tidak sampai menghalalkan pendustaan, taktik kotor, ugutan dan gertakan, rasuah politik, manipulasi media, eksploitasi jentera kerajaan. Jika disorot kempen parti-parti yang bakal bertanding, senarionya begitu menarik. Seorang teman dari Meru, Klang memberitahu, ada pihak tertentu mengupah beberapa orang tua, dengan imej agama, misalnya berkupiah putih, duduk berjam-jam di kedai kopi, bercakap dengan nada tinggi -- supaya orang lain juga mendengarnya -- memburuk-burukkan Barisan Alternatif (BA). “Mesejnya supaya umum dipengaruhi bahawa penyokong BN juga ramai. Sedangkan selama ini hanya pendokong BA memenuhi kedai-kedai makan.”

 

Satu artikel dalam laman web mengingatkan  aktivis BA tentang taktik kotor lawan memburukkan imej Alternatif:  “Bendera dan poster BA akan ditampal di tempat awam oleh musuh sehingga menyusahkan orang ramai, misalnya menutup lampu isyarat dan arah jalan. Logo BA diconteng di dinding rumah ibadat. Berkonvoi dengan sombong melalui masjid di waktu solat sambil bersorak “reformasi” atau bertakbir.  Tukang kacau akan diupah untuk bersorak di ceramah BN agar BA dituduh pengacau. Sepanduk provokasi dinaikkan, misalnya berbunyi “Umno Parti Kafir”, “Undi PAS Masuk Syurga”.  Poster dan papan tanda BN akan dikoyak dan dibakar.”

 

Saya tertarik dengan satu peringatan bahawa  kemungkinan musuh BA akan menelefon secara rambang dan menjerit, “undilah Barisan Alternatif”,  bagi membangkitkan kemarahan pengundi kepada BA. Pengalaman saya menjelang hari mengundi 1990 adalah rakaman terbaik. Pada malam tv menyiarkan Ku Li memakai sigah Kadazan yang dikatakan berlambangkan salib, saya dan teman-teman di pejabat Harakah sibuk menyiapkan bahan. Pada malam itu saja, saya dihujani lebih 20 panggilan telefon dari pemanggil yang berlainan. Rakan-rakan lain menghadapi hal yang sama.

 

Nada panggilan itu tidak jauh beza, seperti dirancang dan menurut skrip. Sebahagiannya dari ibu-ibu yang mengakui berazam menyokong PAS tetapi kini marah dengan Ku Li dan akan kembali mengundi BN. Mereka cuba mencetuskan kemarahan kami  dengan memburukkan S46 dan pemimpin PAS yang sanggup berkompromi dengan Ku Li yang tamakkan kuasa sehingga menjual agama. Kesannya menakjubkan, ramai teman-teman menjadi keliru, begitu juga pemimpin PAS. Rupanya kumpulan yang menelefon ini tidak henti-henti menghubungi sesiapa yang mereka kenal, khususnya bekas penyokong Umno yang sudahpun berpaling kepada PAS, dan aktivis pembangkang.  Saya sendiri dihujani panggilan yang sama keesokannya, sehinggalah hari mengundi.

 

Saya sekadar mengingatkan: Alternatif, biarpun mendapat pelbagai rahsia dan isu baru yang menggemparkan,  ia tidak semestinya berkesan untuk mempengaruhi pengundi, sebaliknya bagi BN, isu-isu remeh, melalui rangkaian propagandanya, boleh diolah untuk menikam pembangkang. Jadi, pertama, berhati-hatilah. Kedua, berhati-hatilah!

 

Ahmad Lutfi