Dinsman Menulis…

 

Strategi Mesti Segera Diubah

 

Ceramah politik Barisan Alternatif terlalu banyak di Lembah Klang. Terutamanya PAS dan keADILan. Di bandingkan dengan kawasan-kawasan lain di luar Lembah Klang, ia terlalu banyak. Hal ini eloklah segera diubah.

 

Saya beberapa kali terkejut akhir-akhir ini apabila bertemu kawan-kawan dari luar Kuala Lumpur. Mereka jauh sangat tertinggal di belakang. Banyak yang mereka tak tahu.

 

“Yang kau orang marah sangat dengan Mahathir ni apasal? Kau orang kata dia zalim. Apa yang dia zalim?" Tanya seorang cikgu sekolah menengah dari Batu Pahat, Johor.

 

Terkejut saya dengar soalan itu. Macam tak mahu percaya. Cikgu yang bertanya itu bukan sebarang cikgu. Dia juga seorang penulis buku. Rajin membaca buku dan rajin melayari Internet. Takkan saya nak buka ceramah politik pula untuk dia dan seorang kawan yang bersamanya?

 

“Kau tak pernah pergi dengar ceramah politik Barisan Alternatif?” tanya saya. Bukan nak mengelak daripada menjawab soalannya, tetapi ingin tahu sama ada dia benar-benar tak tahu, ataupun dia sengaja buat tak tahu.

 

“Aku bukan tak mahu pergi dengar ceramah politik,” jawab kawannya, guru sekolah kebangsaan. “Dulu aku pergi. Tiga kali aku pergi, aku dengar benda yang sama. Balik-balik cakap itu juga. Semua yang kerajaan BN buat tak betul. Tetapi tidak pula dia ceritakan kalau Barisan Alternatif memerintah, apa yang mereka  akan buat. Setakat nak pergi dengar kritik terhadap kerajaan, lebih baik aku duduk rumah tengok tv. Buang masa aku aja.”

 

Saya tak tanya mereka apakah mereka baca Harakah dan Detik. Mungkin mereka baca, mungkin mereka tak baca. Tak kisahlah. Saya beranggapan mereka tak baca. Dan saya tak boleh salahkan mereka. Mereka bebas membuat pilihan. Yang pentingnya mereka telah mengesahkan satu keadaan yang memang telah beberapa kali diperbincangkan di kalangan kawan-kawan penyokong Alternatif di KL.

 

Pernah saya bertanya kepada aktivis PAS dan keADILan, “kenapa ceramah terlalu tertumpu di Lembah Klang?” Mereka jawab, kerana masalah kewangan. Di Lembah Klang setiap ceramah mampu mengumpul wang yang bukan sahaja boleh menampung perbelanjaan mengadakan ceramah tersebut, tetapi lebih daripada itu. Sedangkan di luar Lembah Klang kutipannya kecil, tidak dapat menampung perbelanjaan.

 

Nampaknya aktiviti ceramah itu berlaku secara bebas oleh masing-masing Cawangan atau Bahagian parti-parti berkenaan. Tidak ada penyelarasan di peringkat pusat. Dan nampaknya faktor kewangan memainkan peranan begitu penting. Bukan faktor keperluan meningkatkan kesedaran rakyat di kawasan-kawasan yang dikenal pasti memerlukannya.

 

 

Saya kira keadaan seperti itu perlu segera diubah. Masanya sudah tiba untuk Barisan Alternatif menyusun program kempennya secara yang strategik. Cukuplah cara bebas yang berlaku selama ini. Sekarang aturlah strategi dengan tegas dan rapi.

 

Baru-baru ini saya sekali lagi terkejut apabila Prof.  Jomo memberitahu bahawa hasil tinjauan yang dilakukan oleh kawan-kawannya menunjukkan 45 peratus penduduk Beranang tidak tahu tentang wujudnya Barisan Alternatif; apatah lagi tentang Anwar Ibrahim yang bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya Barisan  Alternatif menang dalam pilihan raya akan datang.

 

Beranang! Masih di dalam Lembah Klang. Hanya 30 kilometer daripada Kuala Lumpur. Pun masih tidak tercapai maklumat yang kita jangka sepatutnya sudah dimaklumi oleh rakyat umum yang bakal menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa sahaja sekarang ini. Apalah nak dihairankan orang-orang yang sejauh Batu Pahat!

 

Sudahlah. Cukuplah ceramah-ceramah yang terlalu banyak di Kuala Lumpur -- Gombak, Titiwangsa, Batu, Selayang, Shah Alam, Kelang, Subang, Petaling Jaya Selatan dan sebagainya. Sekarang kita sudah mengenalpasti mana kawasan atau kerusi yang akan ditandingi. Maka seperti kata Ahmad Lutfi dalam Cetusan Minda  keluaran lalu, “Fokus! Fokus!”

 

Ya, Fokus! Itulah yang perlu sekarang. Pastikan mana kawasan yang perlu diberi fokus, mana kawasan yang dikira sudah okey, dan mana pula kawasan yang tidak ada harapan. Bagi kawasan yang dikira tidak ada harapan, tinggalkan dan lupakan saja. Jangan buang masa dan jangan buang tenaga dan wang. Berikan tumpuan pada kawasan yang ada harapan.

 

Mengikut dua orang cikgu dari Batu Pahat itu, rakyat di kawasan mereka bukan tidak ada kesedaran langsung tentang kezaliman kerajaan BN dan perlunya kita kepada kerajaan baru. Masalahnya, maklumat yang sepatutnya sampai kepada mereka telah tidak sampai. Penceramah yang berkaliber amat jarang menjenguk ke sana. Yang ada hanya pemimpin tempatan, yang bukan sahaja kurang wibawa, tetapi juga kurang maklumat terkini.

 

Strategi mesti segera diubah. PAS, keADILan, PRM dan DAP mesti muafakat dalam hal ini. Jangan terlalu bergantung kepada ceramah. Cukuplah ceramah setakat yang ada. Malah boleh kurangkan pada tempat-tempat yang terlalu banyak. Atur program yang lain pula, yang lebih berkesan.

 

Bukannya mudah untuk menghadapi serangan dari media akhbar harian dan televisyen yang dikawal oleh Umno/BN. Harakah, Detik, Muslimah dan Tamadun terlalu kecil dan kerdil untuk dibandingkan, atau digandingkan untuk bersaing mencari kemenangan. Dan khabarnya peningkatan edaran Harakah daripada 60,000 naskah kepada 280,000 naskah itu pun kebanyakannya beredar di sekitar Lembah Klang juga.

 

Ertinya, Barisan Alternatif tak boleh terlalu harapkan pada Harakah dan majalah-majalah serta buku-buku yang pro-Alternatif itu. Mesti ada strategi lain. Lain daripada ceramah dan lain daripada Harakah. Apa dia?

 

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah bersama dengan PAS  Kubang Pasu pernah mengadakan program Ops Tawan Kubang Pasu, misalnya, Saya sempat menghadirinya dan mendapatinya sangat menarik dan cukup berkesan. Apabila diceritakan kepada pihak-pihak Alternatif di KL, ramai yang tertarik dan mencadangkan supaya program yang serupa itu dijalankan juga di tempat-tempat lain. Bahkan ada yang mencadangkan supaya pihak yang menjayakan program di Kubang Pasu itu dijemput memberikan kursus kepada jentera-jentera Alternatif dari seluruh negara, supaya program itu dapat dijalankan di seluruh negara.

 

Agenda terpenting daripada program itu ialah kempen dari rumah ke rumah. Itu saja. Tetapi untuk menjayakannya tidaklah semudah itu. Perlu penyelidikan terlebih dahulu untuk mengenal pasti setiap rumah dalam Bahagian/Kawasan berkenaan, yang mana yang menyokong kita dan yang mana yang tidak. Perlu pula tenaga “mahir” yang mencukupi untuk pergi ke setiap rumah yang telah dikenal pasti itu. Mereka diperlengkapkan dengan maklumat-maklumat yang diperlukan bagi menjayakan misi untuk mempengaruhi orang berkenaan supaya menyokong perjuangan kita.

 

Memang tidak mudah melaksanakannya. Ia bukan satu program yang boleh terus dijalankan begitu sahaja. Ia memerlukan penyelidikan, organisasi yang cekap, tenaga mahir yang mencukupi dan juga kewangan.

 

Itu satu contoh program yang boleh dibuat. Sekadar menyebut satu contoh. Maka tentulah banyak lagi program-program lain yang boleh dibuat. Eloklah kita berfikiran terbuka dan berbincang dengan tenang. Jangan terlalu taksub dan yakin akan kemenangan, tanpa mengambil kira kekuatan pihak lain.

 

Isu Anwar keracunan arsenik, misalnya. Pihak Alternatif bolehlah mencemuh, mengatakan siapakah akan percaya kepada propaganda atau pembohongan pihak BN yang mengatakan isu itu sengaja dibuat-buat oleh pihak Anwar. Jangan terkejut! Sebenarnya isu itu lebih banyak memberikan kesan negatif daripada positif kepada pihak Alternatif.

 

 Saya sendiri banyak bertemu dengan orang yang percayakan apa yang dilaporkan oleh pihak akhbar harian dan televisyen, yang mengatakan ujian HUKM telah membuktikan bahawa Anwar tidak mengalami keracunan arsenik. Bahkan seorang kawan yang sebelum ini bersimpati dengan Anwar, tiba-tiba berubah, disebabkan oleh isu arsenik. Dan dia bukan orang pendalaman yang tidak sampai maklumat terkini. Dia seorang pegawai tinggi yang tinggal di KL, yang bacaannya bukan sahaja sumber-sumber dalam negeri, tetapi juga sumber-sumber luar negeri.

 

Betul! Jangan main-main. Jangan ingat orang sudah hilang kepercayaan kepada akhbar harian dan televisyen.

 

Soalnya, apakah yang pihak Barisan Alternatif lakukan untuk menangkis segala dakyah dan propaganda Umno/BN yang hari-hari mengasakkan maklumat mengatakan dakwaan Anwar keracunan arsenik itu bohong semata-mata, untuk meraih simpati rakyat kepadanya yang telah melakukan salah laku seks?

 

Jawapannya, sekali lagi, Harakah dan ceramah-ceramah telah memberikan penjelasan. Tetapi ternyata, hakikatnya, Harakah dan ceramah-ceramah itu tidak berkesan. Orang masih percaya kepada akhbar-akhbar harian dan televisyen. Maka sesuatu yang lain lagi adalah perlu dilakukan. Sangat-sangat perlu.

 

Itu baru perkara yang “nyata” seperti isu arsenik. Belum lagi ditimbulkan bermacam-macam perkara yang “tidak nyata”.

 

Maka sama-samalah kita berikhtiar, sambil berdo’a kepada Allah.

 

Dinsman.

11 Novemver 1999