Komplot Bunuh Diana ?

Kehilangan Puteri Yang Nyaris-nyaris Islam

Puteri Diana, seperti juga lain-lain selebriti Barat, pada mulanya hanya dipandang oleh umat Islam di dunia sebagai salah seorang tokoh glamour Barat, seperti mana-mana artis Barat yang lain.

Tokoh-tokoh glamour Barat ini menjadi terkenal ke seluruh dunia kerana penguasaan media Barat ke atas dunia di samping tamadun Barat sendiri yang mendominasi dunia.

Maka tidak hairanlah tokoh-tokoh glamour Barat, baik mereka yang terlibat dengan seni atau hanya terkenal kerana dihebah-hebahkan seperti Diana sendiri.

Umat Islam di dunia yang kebanyakannya terperangkap dalam kemiskinan mungkin tidak mengetahui siapakah Diana, dan mengapa dia diperkatakan dan dihebahkan oleh media. Sungguhpun begitu, di kalangan yang terdedah dengan media Barat, yang kini sememangnya mendominasi dunia, umpamanya melalui televisyen dan media cetak, mereka akan mengenali tentang Diana sebagai seorang isteri kepada Putera Mahkota Britain, yang cantik dan menjadi tumpuan kamera media Barat. Pendedahannya kepada dunia membuatkan sesiapa yang menonton media Barat akan mengenalinya.

Pandangan umat Islam terhadap Diana adalah juga seperti pandangan masyarakat bukan Barat terhadap puteri itu. Umpamanya, di kalangan masyarakat Cina dan Afrika. Bagi kalangan orang bukan Barat, yang terpengaruh dengan kehidupan Barat, mereka mungkin lebih berminat tentang Diana, lebih-lebih lagi Diana melambangkan seorang trend setter dalam fesyen. Sudah tentu wanita sekular dan kebaratan akan menaruh minat terhadap perlakuan Diana.

Bagaimanapun terdapat lebih daripada itu. Selebriti lain merupakan penyanyi, pelakon dan mode1 yang menjadi kaya dan terkenal kerana profesion mereka. Umpamanya, Madonna yang merupakan sebahagian daripada industri hiburan Barat yang digunakan oleh seluruh dunia termasuk negara-negara bukan Barat termasuk di kalangan umat Islam. Akan tetapi berbeza dengan Diana. Diana bukan penyanyi atau pelakon. Jawatan Diana adalah suatu yang terhormat, malah mempunyai nilai politiknya tersendiri. Dia bukan sebahagian daripada dunia picisan. Diana pernah menjadi bakal permaisuri England.

Untuk menambah lagi menarik, cerita Diana melalui hidup yang dramatik. Berkahwin dengan anak raja, gagal menambat hati suaminya, dikhianati oleh suaminya yang terlibat dengan perzinaan, Diana juga mempunyai hubungan dengan lelaki yang bukan suaminya, akhirnya berpisah, kemudian bercerai dan selanjutnya mencari percintaan baru. Semuanya macam drama yang sudah tentu menarik minat. Lebih-lebih lagi di kalangan orang-orang biasa yang tidak pernah dapat menikmati secebis kekayaan yang dinikmati oleh Diana.

Memang laporan terbanyak tentang Diana berlaku di Britain. Cerita Diana menjadi bahan ikutan rakyat Britain sejak dia kahwin 15 tahun dahulu. Antara media yang ba-nyak memburu dan menyiar berita tentang Diana ialah akhbar-akhbar milik Rupert Murdoch, hartawan media antarabangsa yang menguasai bukan saja banyak akhbhr tetapi televisyen di seluruh dunia. Murdoch, seorang warganegara Amerika adalah kelahiran Australia. Maka cerita Diana tidak hanya tersebar di Britain. Ia tersebar meluas, khususnya negara-negara Komanwel, dan akhirnya menjadikannya tokoh dunia.

Kemasyhuran Diana juga mencerminkan pengaruh Britain sebagai bekas kuasa imperial dunia. Kanada dan Australia dan banyak lagi negara-negara Komanwel yang mengambil Ratu England sebagai ketua negara sudah tentu tertarik dengan Diana. Bukan itu saja, negara-negara Koman-wel yang pernah dijajah oleh Britain juga akan mengikuti perkembangan Diana. Lebih-lebih lagi mereka berkongsi satu bahasa iaitu bahasa Inggeris. Maka tidak hairanlah Diana menjadi terkenal di India dan Pakistan. Di sebelah timur, Hong Kong yang baru berlepas dari tangan Britain meman-dang Diana dengan penuh minat. Pengaruh Diana ini tersebar luas ke Singapura dan Malaysia.

Maka dalam keadaan begini, umat Islam memandang Diana seperti mana pada tahun-tahun terdahulu mereka pernah mengikuti selebriti-selebriti wanita Barat yang lain seperti Marilyn Monroe dan Jackie Kennedy Onnasis yang hidup penuh dekaden (mewah dan tidak bebas).

Sungguhpun begitu, Diana berbeza. Dia mempunyai hubungan istimewa dengan Islam. Yang paling ketara dan justeru itu menarik umat Islam terhadap kisah hidupnya ialah hubungan Diana dengan kekasih terakhirnya, Dodi Al-Fayed. Tanpa adanya Dodi, mungkin umat Islam hanya memandang diana sebagai selebriti biasa. Akan tetapi Dodi merubah pandangan umat Islam terhadapnya.

Dodi adalah seorang playboy (tetapi di Barat playboy di kalangan masyarakat mewah adalah perkara biasa). Atau Dodi menjadi playboy kerana sebelum Diana, dia tidak lagi menemui seorang perempuan yang betul-betul dicintainya.

Apa yang menarik, banyak komentar yang menyatakan memang Dodi dan Diana merancang untuk berkahwin. Ini bererti Diana akan memeluk agama Islam untuk berkahwin. Bagaimanapun, sebagai playboy Dodi bukanlah seorang yang kuat berpegang pada agama. Dia hidup seperti orang Barat yang lain – macam Salman Rushdie, tetapi dia tidak pernah memburukkan Islam secara terbuka. Malah ketika namanya timbul sebagai pasangan baru Diana, kalangan Islam ramai yang meragu-ragukan keislaman Dodi. Bagaimanapun, bagi mereka yang mengetahui latar belakang keluarganya, Al-Fayed, apa hal pun Dodi adalah seorang Islam.

Bapanya bernama Mohamed Al-Fayed dan berasal dari Iskandariah, Mesir. Sememangnya apabila disebut sebagai rakyat Mesir, terutama di kalangan elit negara itu, umat Islam tidak terus menyangka mereka adalah keluarga Islam. Banyak tokoh Mesir yang terkenal di Barat bukan dari kalangan Islam. Umpamanya Omar Sharif, pelakon terkenal dan bekas Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu, Boutros Boutros Ghali adalah Kristian Kibti.

Bagaimanapun, keluarga Al-Fayed adalah seorang Islam.

Walaupun kehidupannya begitu kebaratan dan dekaden seperti juga jutawan Adnan Kashoggi tetapi mereka tetap beragama Islam. Ini disahkan apabila Dodi setelah kema-tiannya, dia dikebumikan secara Islam di tanah perkuburan orang Islam.

Sungguhpun begitu, hubungan Diana dengan lelaki Islam bukan bermula dengan Dodi. Sebelum itu, Diana digosipkan dengan seorang Islam dari Pakistan, Dr. Hasnat Khan. Walaupun Hasnat juga sukakan Diana dan dikatakan pernah membawa Diana bertemu keluarga di Pakistan akan tetapi rancangan mereka tidak dapat diteruskan kerana bantahan daripada keluarga Hasnat. Hasnat pula dikatakan datang daripada keluarga yang kuat beragama dan berpegang pada adat. Maka mustahil baginya untuk berkahwin dengan seorang yang di luar daripada agama dan bangsanya.

Bagaimanapun, Diana mempunyai hubungan lain dengan Pakistan. Dia mempunyai seorang kawan yang juga selebriti iaitu Jemima Khan. Jemima seorang Inggeris telah berkahwin dengan Imran Khan, seorang selebriti skuash Pakistan. Inmran Khan yang terkenal dengan kerja-kerja kebajikan kesihatan di Pakistan menceburi politik di negara itu. Walaupun partinya kalah dalam pilihan raya Pakistan tetapi pengaruh masih ada di negara itu. Kekalahannya pula dikatakan berpunca daripada kegiatannya dahulu yang dikatakan seperti playboy, suatu yang sudah tentu tidak diterima oleh rakyat Pakistan.

Dilaporkan Diana pernah bertanya pada Jemima, adakah agama Islam suatu yang sukar dalam kehidupan. Jemima yang masih berkahwin dengan Imran Khan dilaporkan menjawab bahawa agama Islam bukanlah merupakan suatu yang sukar atau penghalang kepada kehidupan moden.

Untuk itu, Diana pernah melawat Pakistan, dan mengunjungi hospital Imran Khan. Ketika melawat masjid di Pakistan, menurut seorang imam di situ, Diana menunjukkan minat terhadap Islam yang mana kemudian menasihatinya supaya mencari seorang lelaki Islam bagi membimbingnya untuk memeluk Islam.

Mungkin pergaulannya dengan keluarga Al-Fayed dan Dodi yang hidup cara Barat menampakkan bahawa Islam tidak menghalang kehidupan moden. Sebaliknya keluarga Al-Fayed menampakkan nilai-nilai yang menenangkan dengan mengambil berat terhadap seseorang, tidak seperti keluarga diraja Britain.

Diana mempunyai sikap internasional. Dia tidak merasa canggung untuk bergaul atau bermesra dengan orang-orang bukan Barat. Dia bukan seorang perkauman dan dengan mudah menyentuh anak-anak Afrika dan Pakistan.

Akan tetapi benua kecil India-Pakistan mempunyai tempat istimewa dalam perasaannya. Hubungannya dengan Mother Teresa (mati seminggu selepas Diana) menampakkan persamaan dalam pandangan mereka terhadap bangsa-bangsa bukan Barat. Teresa membantu semua orang miskin di India, sama ada Kristian, Hindu atau Islam. Sifat toleransi ini mungkin lahir daripada latar belakang Teresa sendiri yang lahir di Albania, sebuah negara majoriti Islam.

Dalam pada itu, India mempunyai nilai sentimental bagi Diana. Ketika mana ia baru berpisah dengan Putera Charles, dan mungkin mengusap perasaan kesunyiannya, dia cuba merenung hidupnya di Taj Mahal, India. Suatu monumen kisah percintaan dalam sejarah Islam. Gambar Diana duduk bersendirian di hadapan Taj Mahal menggambarkan sesuatu yang sentimental dalam hidupnya. Dia seolah-olah sedang mencari ketenangan dalam bayang-bayang Islam.

Negara terakhir yang dikunjungi sebelum kematiannya ialah Bosnia-Herzegovina, sebuah lagi negara Islam. Kunjungannya ke situ adalah untuk berkempen mengharamkan periuk api yang telah membunuh ramai kanak-kanak di seluruh dunia. Ketika itu, dunia sedang bersedia meng-hadapi satu persidangan untuk mengharamkan periuk api. Periuk api adalah senjata Perang Dunia Kedua yang telah mengorbankan jutaan orang, khususnya orang-orang awam dan kanak-kanak jauh lama selepas sesuatu peperangan berakhir.

Dalam sejarah, kanak-kanak Islam adalah antara yang ramai menjadi korban periuk api. Ia berlaku di Afghanistan dan Bosnia-Herzegovina, di samping Iran dan Iraq. Ia juga berlaku di Kemboja dan Afrika. Akan tetapi Amerika Syarikat adalah negara utama yang menghalang perjanjian pengharaman itu daripada digunakan seluruhnya di dunia.

Bagaimanapun, sikap toleransi Diana teradap agama Islam mungkin juga dicorakkan pada perubahan struktur masyarakat Britain sendiri. Sejak selepas Perang Dunia Kedua, masyarakat Britain sedang berubah mendadak dengan kedatangan ramai pendatang asing yang berasal dari bekas tanah jajahan Britain. Britain pernah menjajah atau mempunyai pengaruh ke atas kawasan Islam yang luas. Di dunia Arab, Britain menguasai Mesir, Sudan, Palestin (termasuk Jordan), Arab Saudi, Yaman, dan negara-negara Teluk. Di Asia, negara-negara Islam yang pemah dijajah ialah India-Pakistan-Bangladesh, Malaysia dan Brunei.

Ramai pendatang Islam datang menetap di Britain, yang terbesar daripada India dan Pakistan. Juga daripada negara-negara Arab termasuk Mesir. Dari Malaysia, yang datang ialah para pelajarnya yang menuntut ilmu dan kemudiannya menanam perasaan sukakan budaya Inggeris.

Antara pendatang itu adalah keluarga Mohamad al-Fayed. Beliau adalah juga penasihat kewangan Sultan Brunei yang mempunyai kepentingan kewangan di Britain. Al-Fayed menjadi kaya, melalui hubungannya dengan keluarga- keluarga minyak di Arab Saudi, di samping kelicikan berniaganya di Britain. Al-Fayed menjadi kuat dan terkenal hingga mampu membeli gedung perniagaan Harrods. Di sinilah keluarga diraja Britain mendapatkan bekalan pakaiannya. Hubungannya yang baik dengan keluarga diraja itu menyemai bibit-bibit perkenalan antara Diana dan Dodi.

Harrods adalah suatu institusi tradisional Britain. Ia mempunyai empat waran dari empat ahli keluarga utama diraja Britain iaitu Ratu Elizabeth, Ibu Ratu (Queen Mother), Putera Phillip (suami Ratu) dan putera mahkota, Putera Charles.

Dari situ juga, keluarga Al-Fayed berkenalan dengan keluarga Spencer, iaitu keluarga Diana. Malah Diana sebagai gadis belasan tahun sering membeli-belah di Harrods di mana Al-Fayed memberi potongan khas. Maka tidak hairanlah Diana boleh berjumpa dengan Dodi. Sungguhpun keluarga Al-Fayed mempunyai hubungan rapat dengan elit Britain, tetapi permohonannya untuk menjadi warganegara Britain ditolak, dan lebih daripada itu, media, sebagai mencerminkan sentimen masyarakat kulit putih Inggeris sering memperli Al-Fayed, kerana ia bukan saja orang asing tetapi beragama Islam.

Malah ketika Al-Fayed membeli dan menyelamatkan gedung Harrods, media Britain memberi amaran bahawa orang Arab akan membeli negara itu. Pandangan serong dan sikap tidak toleran mereka terhadap Islam adalah suatu yang tidak menghairankan. Bagi umat Islam Britain, perkara itu dianggap biasa dan dapat difahami walaupun kadang kala perasaan mereka tersinggung.

Hubungan Diana dengan Dodi menarik minat umat Islam di seluruh dunia, dan lebih-lebih-lebih lagi di Britain. Media Britain yang selama ini memburu Diana, dan kadang kala menyinggung perasaaan Diana menambahkan serangan mereka kepada keluarga Fayed. Ada yang menyiarkan kartun-kartun perli dengan Diana memakai purdah. Malah dalam sebuah majalah terkenal, seorang wartawan dikatakan pernah bertanyakan Diana, adakah dia sanggup memakai purdah apabila kalau benar-benar berkahwin dengan Dodi.

Jawapan Diana ini ditafsirkan bahawa dia tidak akan sama sekali berkahwin dengan Dodi. Bagaimanapun dapatlah dilihat betapa serongnya pandangan orang-orang Barat terhadap Islam. Tentu Diana tidak akan memakai purdah. Akan tetapi tidakkah mereka lihat sendiri betapa ramainya umat Islam di Britain yang bukan saja tidak memakai purdah tetapi menjalani hidup yang bercanggah dengan Islam. Keluarga Al-Fayed sendiri mengadakan parti-parti besar yang tidak menampakkan kehidupan Islam. Sementara itu, Jemima Khan sendiri tidak memakai purdah.

Dalam tabloid-tabloid di Britain juga disiarkan kartun-kartun seolah-olah menghina agama Dodi. Dengan digambarkan Diana memeluk Dodi sambil menyebut nama Tuhan; dan seumpamanya. Ada suatu keadaan perasaan cemburu di kalangan lelaki Barat (sesuatu yang dapat difahami) melihat puteri mereka suka pada seorang Islam. Tidak lama dahulu Britain dilanda juga dengan soal anak gadisnya berkahwin dengan orang Islam di Turki.

Keadaan ini menambahkan lagi minat umat Islam terhadap Diana. Sementara Diana sendiri mula merasa resah dengan kehidupan di Britain. Paling meresahkan ialah media Britain yang sentiasa menganggu kehidupan peribadinya. Malah dilaporkan bahawa Diana ada menyebut dia terus tetap berada di Britain kerana anak-anaknya. Malah dilaporkan dia merancang untuk berpindah dari Britain – ke negara-negara lain yang lebih bebas dalarn erti kata bebas menjalankan kehidupan peribadinya. Dikatakan pula negara pilihannya adalah Perancis. Akan tetapi rupa-rupanya Perancis merupakan negara tempat kematiannya.

Bagi orang-orang Islam yang melihat perkembangan hidup Diana, mereka mungkin merasa bahawa andainya poligami diamalkan oleh Putera Charles, Diana mungkin tidak merana seperti yang berlaku.

Masalah Diana dan Putera Charles ialah adanya orang ketiga dalam kehidupan berumahtangga Diana dan Charles. Diana sendiri berkata ada tiga orang dalam perkahwinan ini. Sebelum Diana menjadi isteri Charles, putera mahkota itu mempunyai kekasih bernama Camilla Parker. Bagaimanapun mereka tidak boleh berkahwin kerana tidak direstui oleh keluarga diraja. Camilla berkahwin dengan orang lain dan Charles berkahwin dengan Diana.

Bagaimanapun, kemudian Charles meneruskan hubungannya dengan Camilla. Diana tahu perkara ini tetapi menerima kehadiran Camilla serta berazam tidak mahu bercerai. Oleh kerana Camilla juga suka pada Charles, akhirnya Diana berpisah dengan Charles. Akan tetapi Camilla tidak boleh berkahwin dengan Charles selagi Diana menjadi isterinya.

Kalau poligami diamalkan, Charles boleh berkahwin dengan Camilla tanpa menceraikan Diana. Maka tidak ada jalan lain bagi Charles selain akhirnya menceraikan Diana bagi membolehkan dia berkahwin dengan Camilla pada suatu masa kelak. Selain itu, Diana juga mempunyai hubungan dengan lelaki yang sudah beristeri. Mereka juga tidak dapat menjadikan Diana isteri mereka kerana mereka sudah beristieri dan tidak boleh mengamalkan poligami.

Apabila Diana dan Dodi menemui ajalnya dekat terowong di Paris, dunia terkejut dan terharu. Bagi wanita di seluruh dunia, mereka amat bersimpati dengan Diana kerana dia hampir mengecapi kehidupan bahagia dengan Dodi setelah selama ini merasa kecewa walaupunberkahwin dengan putera raja dan duduk di istana. Keadaan ini lebih ketara apabila gambar video yang diambil sejurus sebelum kemalangan menampakkan bahawa Diana sedang melompat naik kapal terbang dalam aksi yang menggembirakan.

Tambahan pula, dilaporkan, ia memberitahu kawannya bahawa dia telah menemui syurga (kebahagiaan - bliss) bersama Dodi. Sementara Dodi pula memberitahu wakil Harrods bahawa dia tidak akan ada lagi teman wanita selepas memiliki Diana. Malah Dodi telah menempah cincin permata yang paling mahal untuk Diana.

Maka kematian Diana dan Dodi turut menarik perhatian, simpati dan rasa kekecewaan di kalangan umat Islam. Umat Islam merasakan kehilangan seorang yang bakal menjadi seorang Muslimah - lebih-lebih lagi dia seorang selebriti. Antara umat Islam, ada yang turut meletakkan bunga bagi Diana. Maka walaupun dia masih seorang Kristian ketika kematiannya, dan juga dikebumikan secara Kristian tetapi kalau benar dia berniat untuk memeluk agama Islam, walaupun kerana hendak berkahwin dengan Dodi, maka dia sudah dianggap sebahagian daripada umat Islam.

Sebaik saja kematian Diana-Dodi, tapak-tapak web dalam internet untuk Diana sibuk dihidupkan dan maklumat yang terkandungnya diedar ke seluruh dunia. Inilah pengaruh internet dalam zaman ini yang turut menyum-bangkan kepada maklumat dan fikiran baru tentang sesuatu isu. Suatu perkembangan yang mungkin tidak berlaku andainya tidak ada internet.

Dalam internet, dikeluarkan suatu teori konspirasi tentang kematian Diana dan Dodi. Oleh kerana internet merupakan media bebas, pelbagai kumpulan sering meng-gunakannya untuk menyiarkan maklumat atau fikiran yang walaupun tidak logik kepada seluruh dunia. Terpulang kepada pembaca untuk menilainya. Yang penting maklumat atau fikiran itu telah diedarkan. Inilah juga yang terjadi terhadap Teori Konspirasi mengenai Diana dan Dodi.

Menurut teori itu, Diana dan Dodi telah dibunuh oleh agensi perisik Britain dengan kerjasama agen perisik Perancis. Pembunuhan itu dilakukan oleh agen yang menyamar sebagai papparazzi (jurugambar bebas) yang mengejar Diana-Dodi dan antaranya yang memintas kereta Diana-Dodi hingga pemandunya terlepas kawalan dan terbabas. Cara pembunuhan ini adalah suatu yang tidak pelik. Kalau diikuti cerita-cerita perisikan baik fiksyen mahupun yang timbul dari pengakuan bekas perisik, pembunuhan seumpama ini boleh dilakukan.

Tetapi mengapa pula Diana dan Dodi mahu dibunuh? Jawabnya adalah soal Islam. Mereka mahu menghalang perkahwinan itu berlangsung. Kerana jika perkahwinan itu berlaku juga, Diana akan menjadi seorang Islam. Bayangkan pula ibu kepada seorang bakal menjadi raja Britain adalah seorang Islam. Anak Diana, Putera William adalah bakal putera mahkota apabila Putera Charles menjadi raja setelah Queen Elizabeth mangkat kelak.

Apa yang dikatakan menjadi kebimbangan perisikan Britain adalah jika Diana yang mempunyai pengaruh ke atas anaknya mengajak anaknya menjadi seorang Islam. Maka raja England kelak adalah seorang Islam. Tentu suatu yang merosakkan imej Britain. Sedangkan raja di Britain adalah ketua agama Kristian di Britain.

Sebab itu dikatakan, keputusan untuk membunuh Diana-Dodi dibuat selepas betul-betul dipastikan bahawa Diana bersetuju untuk berkahwin dengan Dodi dan memeluk Islam. Maka di Hotel Ritz, Paris itu dikatakan Diana menerima lamaran Dodi dan bersetuju memeluk Islam. Sebab itu juga dikatakan jurugambar paparazzi masih ditahan dan maklumat sebenar apa yang berlaku sebelum kemalangan akan terus menjadi misteri. Tambahan pula, pengawal Diana yang cedera parah tidak ingat langsung apa yang berlaku. Sudah tentu dia juga dikawal rapi.

Tambahan pula dikatakan juga bahawa upacara pengkebumian yang penuh adat Kristian disebarkan dengan meluas, dan diulang-ulang juga khususnya kepada negara Islam untuk menegaskan bahawa Diana adalah seorang Kristian.

Teori konspirasi ini terus diambil oleh Presiden Libya, Muammar Gaddafi yang menyebutnya dengan terang. Kenyataan Gaddafi ini dikecam hebat oleh keluarga diraja Britain dengan menyifatkan Gaddafi sudah terkeluar daripada amalan pemikiran biasa arus perdana negara-negara dunia.

Teori ini kemudian tersebar di media Arab yang dibaca oleh ulamak-ulamak seluruh dunia dan kemudian tersebar ke ceruk-ceruk luar bandar di kampung-kampung Islam di seluruh dunia.

Adakah teori ini betul? Secara seimbas lalu, ia kelihatan tidak logik. Takkan sebuah negara demokrasi yang bertamadun seperti Britain sanggup berbuat demikian. Sanggup membunuh puterinya sendiri. Suatu yang di luar logiknya.

Kalaupun Diana memeluk agama Isfam, tidak semestinya dia akan mengajak puteranya, William menganut Islam. Malah dengan penukaran agama itu, Diana sendiri akan digugurkan hak keibubapaannya terhadap William. Kalau tidak pun, keluarga diraja Britain sendiri tidak akan membenarkan Diana mengajak William memasuki Islam. Begitu juga andai kata William memasuki Islam, sudah tentu hak dia menjadi raja kelak tentu juga gugur. Maka sebenarnya keluarga diraja tidak bimbang andai kata Diana memeluk Islam. Jadi, dari satu segi, teori konspirasi itu tidak mudah diterima akal.

Bagaimanapun, umat Islam gemar teori itu, malah ramai yang mudah mempercayainya, baik di Malaysia, Indonesia, atau di Mesir, Pakistan dan India. Dengan kematian Diana, dirasakan umat Islam sudah kehilangan seorang puteri Kristian yang nyaris-nyaris menjadi Islam.#

Penerbitan Pemuda, 24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak, K.L.
Tel: 03 463 0371, Faks: 463 0372