Komplot Bunuh Diana ?

Apa Relevannya Kematian Diana Buat Umat Islam?

Ramai kawan-kawan saya terkejut bila diberitahu saya sedang menyiapkan buku tentang kematian Puteri Diana, bukannya buku tentang perkembangan politik terkini.

Kata mereka, masih banyak isu tempatan yang perlu dikupas, termasuk jerebu, kemerosotan nilai ringgit, menjunamnya harga saham, "pertelingkahan" Anwar-Mahathir.

"Buku kau, Anwar Terjerat?, banyak yang tak lengkap," seorang kawan, pencandu politik, yang usianya hampir separuh abad, menelefon pada suatu pagi. "Aku ada banyak rahsia Anwar yang umum tak tahu. Lagipun surat yang menuduh Anwar berlaku curang perlu penjelasan lanjut." "Cukuplah," jawab saya. "Kalau benar Anwar tak betul, jatuh jua akhirnya, kita tak perlu terkejar-kejar." "Lain macam bunyinya." "Aku nak berubah angin. Berhenti sekejap tulis politik." "Habis, siapa pula yang kau nak bedal'?" Kawan saya ini tetap tidak puas hati. Katanya, bidang saya adalah penulisan politik popular. Tajamkan mutu persembahan, jangan fikir topik yang bukan-bukan, nasihatnya.

"Aku sedang siapkan bahan tentang Lady Di." "Bukankah ia hanya satu kemalangan biasa. Apa yang kau nak ulas? Nanti, apa pula kata orang bila Lutfi tulis pasal Diana." "Satu pembaharuan. Salah? Mungkin ada segi-segi kehidupan Diana yang orang tak pernah terfikir boleh aku ulas. Tapi yang penting, aku yakin ada konspirasi Barat yang mendalangi kematiannya. Perancangan mereka cukup licik, sukar dikesan dan nampak seperti satu kebetulan." Akhirnya kawan saya itu angkat tangan. Katanya, peminat Lady Di memang cukup ramai, dan mereka tentunya tertarik jika ada perspektif baru tentang lagenda mereka itu dikupas dengan baik.

"Kalau kau kata Diana dan Dodi mati dibunuh, buktikan," ujarnya sambil mengucap salam setelah mengingatkan saya agar pastikan buku ini teredar dengan lebih sempurna. Katanya, buku saya yang lain, khususnya Mufti Lawan Mahathir? sukar didapati di kedai-kedai buku.

"Tiada sebarang keistimewaan pada Diana. Dia bukan ibu yang baik, bukan isteri yang taat dan menantu yang tidak mendengar cakap," kata seorang sahabat lama, sambil mengucapkan tahniah kerana buku terbaru saya Mufti Lawan Mahathir? berjaya dicetak ulang sebanyak empat kali, iaitu 30,000 naskhah, dalam masa sebulan. Harakah menyifatkannya sebagai sejarah baru dalam penerbitan buku politik popular tanahair. "Aku bimbang imej kau sebagai penulis yang serius tercemar dengan buku baru ini." Memang saya akui penulisan buku ini akan mendapat reaksi pelbagai, terutama yang melihat saya sebagai pengkritik yang tajam dan pendokong setia kebangkitan Islam. "Apa pun maudhuk yang enta tulis, paksinya tetap Islam.

Perspektifnya harus ditanggap dari kacamata agama. Persetankan soal Diana mati kemalangan, hatta jika benar dia dibunuh sekalipun. Yang penting, apa kaitannya dengan Islam? Itu sebenarnya yang orang nak baca buku enta selama ini," kata Tarmizi Mohd Jam, seorang rakan karib, juga penulis buku politik. Tarmizi agak menyepi selepas menyambung pelajaran dalam pengkhususan kajian media di Universiti Malaya.

"Pendokong Islam melihat kematian Diana selepas berfoya-foya dengan Dodi tiada relevan langsung dengan perkembangan Islam menjelang alaf baru ini, khususnya di Eropah," tambah Tarmizi lagi. "Jadi enta harus timbulkan, apa kaitannya kematian Diana, yang umum menanggapinya sebagai mangsa nahas kemalangan semata-mata. Bagi mereka, dakwaan mengatakan Diana dibunuh perisikan British hanyalah gimik semata-mata. Barat tidak perlu takut dengan pengislaman Diana sekiranya lelaki atau suami Diana adalah orang seperti Dodi.

Malah jangan terkejut kalau ada yang beranggapan, kalau Diana memeluk Islam, tiada apa untungnya kepada dakwah Islam di Britain kerana personaliti seperti Diana tidak akan membawa citra Islam sebenarnya." "Kita tidak sewajarnya mudah memperkecilkan peranan orang lain," sahut seorang lagi teman sekerja. Rupanya dia juga tertarik dengan perbualan kami. "Jika Diana benar-benar berminat dengan Islam, kita harus mendorong dan membantunya. Sepatutnya kita sentiasa berusaha mendekatkan setiap bukan Islam kepada agama suci ini, bukan hanya Diana atau orang terkemuka. Bukankah kita semua adalah pendakwah yang sentiasa ringan tangan membantu sesiapa saja daripada menjadi bahan bakar api neraka.

Orang seperti Diana, jika dia Islam, banyak yang boleh dilakukannya demi menyebarluaskan ajaran agama ini. Apatah lagi dalam kedudukan Britain yang menyaksikan pertumbuhan dakwah Islam yang cukup memberangsangkan." "Kita sibuk-sibuk pasal Diana dan Dodi, agaknya, apa khabar mereka sekarang? Untung nasib mereka sudah ditentukan, kita belum tentu lagi," tegur seorang pelajar UIA, selepas bertanyakan projek penulisan terbaru saya. "Itu yang patut saudara ingatkan peminat Diana. Jangan terlalu runsingkan apakah Diana sudah Islam atau belum, hujung kehidupan kita belum tentu. Apakah berkesudahan dengan husnul khatimah atau suul khatimah?

Mengapa hanya kematian Diana dihebohkan sedangkan dalam masa yang sama berlaku begitu banyak kematian orang-orang teraniaya, yang lebih memerlukan perhatian." Sebenarnya banyak perkara yang kadang-kadang dilihat berlaku secara kebetulan sebenarnya adalah lakonan daripada skrip yang diarahkan dengan sempurna oleh pengarah maha hebat. Dan banyak pula yang dianggap berlaku secara terancang, tersusun dan punya urutan, dan dipercayai didalangi pihak ketiga, sebenarnya terjadi secara kebetulan.

Begitulah kematian Diana ditanggapi. Menjelang saat-saat akhir kehidupannya Diana dilihat dekat dengan Islam, malah dua orang kekasihnya sebelum Dodi juga merupakan penganut Islam. Biarpun Diana sudah bercerai dengan Charles tetapi dia masih tetap ibu bakal raja Britain. Apatah lagi ketika khabar-khabar angin bertiup kencang bahawa Charles mungkin terpaksa melepaskan warisan takhta. Selain itu, pengaruh peribadi Diana terhadap peminatnya begitu memukau. Kerja-kerja amalnya dilihat penuh keikhlasan terutama yang berkaitan anak-anak bernasib malang. Dia dianggap duta kemanusiaan teragung abad ini, meskipun perjalanan hidupnya penuh kecurangan dan kemaksiatan.

"Diana belum lagi memeluk Islam. Soal dia berbikini di tengah khalayak, tidur dengan lelaki lain, gemar berfoya-foya tidak perlu dibangkitkan. Itu cerita lama. Ranjau silam hidupnya tidak perlu diselongkar jika benar dia berminat dengan Islam," pandangan seorang wartawan yang cukup bersetuju dengan cadangan saya membukukan kisah Diana. "Seorang yang baru memeluk Islam tidak akan dibebankan dengan kesalahan masa lampau. Lihat Umar al-Khattab dan Khalid al-Walid. Mereka adalah pemuka jahiliyyah sebelum memeluk Islam."

"Cuma saya bimbang, pergaulan bebasnya, hinggap dari seorang lelaki kepada lelaki yang lain, termasuk ketika masih menjadi isteri orang, boleh mempengaruhi pemikiran dan gaya hidup wanita Islam yang meminatinya," tambahnya. "Kita juga tak mahu wanita Islam mengambil sikap protes terbuka kepada kecurangan suami mereka dengan turut terjebak dalam kemaksiatan, seperti yang ditunjukkan Diana. Kalau hang boleh buat, mengapa aku tidak boleh. Sikap seperti ini cukup berbahaya." Bagi saya, meskipun Diana cukup diminati dan gerak-gerinya diikuti, wanita Islam tidak menganggapnya sebagai role model yang diteladani. Mereka hanya kagum dan terpukau dengan kilauan imej yang tampaknya hampir sempurna pada batang tubuh Diana.

Tidak lebih dari itu. Diana lebih banyak diperkatakan selepas beliau meninggal dunia. Pengaruhnya sebelum itu sukar disukat, malah ramai orang Islam yang tidak berasa apa-apa apabila mereka mendengar khabar Diana berkawan rapat dengan Dodi. Ini kerana pada andaian mereka, Dodi hanya teman sementara Diana, seperti rangkaian kekasihnya sebelum itu. Dan kalau-pun Diana berkahwin dengan Dodi, mungkin Diana tetap kekal sebagai penganut Kristian. Siapa yang berhak memak-sanya menukar agama.

Hanya selepas mendapat tahu bahawa sememangnya Diana berniat mendalami ajaran Islam dan keributan yang bakal timbul di Istana Buckingham sekiranya Diana memeluk Islam, barulah semakin ramai yang menyedari implikasi sebenar daripada pengislaman Diana. Sebab itu Gadaffi tidak segan silu melontarkan pandangan provokasinya bahawa Diana-Dodi mati dibunuh perisik melalui konspirasi sulit yang sukar untuk didedahkan.

Teori terbaru tentang pembunuhan Diana sengaja saya letakkan pada bab terakhir buku ini, sebagai pelengkap kepada hujah-hujah yang ditimbulkan secara berselerakan di merata tempat. Ia boleh terus saja dibahaskan kerana kes seumpama ini terlalu sukar untuk dibuktikan kerana semua pihak di Barat terbabit dalam konspirasi untuk menutup kejahatan mereka.

Permusuhan Barat terhadap Islam begitu ketara sehingga memungkinkan mereka berbuat apa saja demi menghalang kebangkitan semula umat Islam. Diana mungkin tidak menyumbangkan sesuatu yang boleh meruntuhkan Barat, tetapi mereka tidak mahu berjudi nasib. William mungkin akan putus hubungan dengan ibunya, dan Diana selepas Islam tidak lagi dianggap selebriti yang perlu diintip setiap minit.

Diana sendiri mengakui kempen pengharaman periuk api yang dijalankannya di Bosnia adalah kegiatan amalnya yang terakhir. Selepas ini Diana mahu hidup untuk dirinya sendiri. Namun Barat dan musuh-musuh Islam tidak mahu pening kepala dengan karenah Diana nanti. Menangani Diana bukannya mudah, sekurang-kurangnya itulah penga-laman Istana Buckingham. Mungkin membunuhnya, dengan strategi canggih dan licik, dapat menghindarkan Barat daripada mimpi ngeri berpanjangan. Tapi harapan itu tidak mudah untuk ditunaikan. Islam akan terus bersinar di mana saja yang dapat disuluh oleh cahaya mentari, walaupun di kutub utara.

Akhirnya, terima kasih buat semua pihak yang membantu, memberi pandangan, menyumbangkan tulisan, khususnya seisi keluarga yang dapat bersabar menghadapi karenah saya ketika menulis buku ini. Juga kepada Saudara Zin Mahmud yang begitu banyak memberi idea, menulis, menegur dan menunjuk jalan, bagi memastikan buku ini dapat diterbitkan juga. Terima kasih buat pembaca setia.

AHMAD LUTFI OTHMAN
Taman Bukit Ampang
15 Oktober 1997

Penerbitan Pemuda, 24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak, K.L.
Tel: 03 463 0371, Faks: 463 0372