Make your own free website on Tripod.com

Purnama patut bebas pengaruh PAS Fathi Aris Omar

6pm, JUM: Bekas Pengarang Harakah dan wartawan politik terkenal Ahmad Lutfi Othman hari ini menggesa Purnama, sebuah akhbar harian yang dikaitkan dengan PAS, dibebaskan daripada pengaruh parti itu. Beliau menegaskan bahawa semua akhbar sepatutnya bebas daripada sebarang pengaruh langsung atau tidak langsung parti-parti politik.

"Jika Purnama diterbitkan semata-mata untuk menyampaikan suara dan idea PAS, amalan itu tidak berbeza daripada apa yang diamalkan oleh Barisan Nasional," kata Lutfi kepada malaysiakini sebagai mengulas kenyataan Zulkifli Sulong, Pengarang Harakah yang didakwa di bawah Akta Hasutan baru-baru ini, kepada sebuah akhbar harian The Sun hari ini.

Zulkifli menghantar permohonan menerbitkan Purnama kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Selasa lalu. Permohonan tersebut ditandatangani oleh pengerusi sebuah syarikat yang ada hubungan dengan PAS Penerbitan Muttaqin Sdn Bhd, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, yang juga seorang ahli jawatankuasa pusat parti Islam.

Zulkifili dipetik sebagai berkata konsep akhbar harian yang dicadangkan itu sama dengan akhbar-akhbar harian lain yang dikawal oleh parti-parti politik tetapi dilihat sebagai akhbar bebas.

"Tidak salah parti politik menerbitkan akhbar harian tetapi ia mesti dijelaskan," kata Lutfi lagi. "Hubungan antara parti dengan akhbar mesti dijelaskan supaya orang ramai tidak keliru sebagaimana amalan yang ada kini."

Akhbar-akhbar harian di negara ini dipercayai dikawal oleh kepentingan parti-parti utama dalam Barisan Nasional dan media arus perdana bersikap berat sebelah dalam laporannya bagi memenuhi agenda politik parti masing-masing. Amalan ini sudah lama berlaku di negara ini dan ia kelihatan sangat ketara dalam pilihanraya umum lalu.

Pengarang Detik dan Wasilah, dua majalah yang diberikan amaran oleh KDN bulan lalu, sebaliknya menyarankan agar PAS memohon Harakah diterbitkan secara harian.

Lutfi yang kini mengetuai Jawatankuasa Bertindak Menentang Pencabulan ke atas Media, satu jawatankuasa sementara bagi memperjuangkan konsep kebebasan media. Jawatankuasa ini dibentuk oleh sekumpulan wartawan dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan selepas KDN mengugut mengharamkan Harakah, menggantungkan permit Detik, dan memberikan amaran keras kepada Wasilah, Tamadun dan Eksklusif.

"Kita perlukan satu reformasi menyeluruh bagi membebaskan industri media di negara ini kerana selama ini sisa-sisa kebebasan yang ada hanyalah simpati parti pemerintah," kata Lutfi. "Kebebasan media itu boleh diberikan dan ditarik bila-bila masa menurut selera mereka."

Lutfi bertugas sebagai wartawan Harakah sejak keluaran pertama pada 1987 dan dilantik sebagai pengarangnya pada 1993. Beliau meninggalkan akhbar itu enam bulan selepas itu untuk menceburi bidang perniagaan.